Konvoi santuni 20 pesakit terlantar

Dari kanan Jasnizam, Mahdzir dan Ghazali bersama konvoi menziarahi Zainol Lebai Mat,78 di Kampung Baru Kuala Nerqng sebelum menyampaikan sumbangan kepada keluarganya.
Dari kanan Jasnizam, Mahdzir dan Ghazali bersama konvoi menziarahi Zainol Lebai Mat,78 di Kampung Baru Kuala Nerqng sebelum menyampaikan sumbangan kepada keluarganya.
A
A
A

KUALA NERANG -20 pesakit terlantar di sekitar Parlimen Padang Terap dipilih menerima sumbangan berupa wang tunai dan makanan sempena Konvoi Teras Kebangkitan Ihya Ramadan 2019 baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Jasnizam Husin berkata, program tersebut bertujuan untuk menyantuni dan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan sempena kehadiran Syawal yang bakal menjelang.

Menurutnya, konvoi tersebut meliputi DUN Kuala Nerang dan DUN Pedu yang bermula kira-kira jam 11 pagi sebelum berakhir pada jam 6.30 petang.

"Program pertama kali yang dianjurkan ini memfokuskan pesakit terlantar iaitu 10 penerima di DUN Pedu dan 10 orang lagi di DUN Kuala Nerang.

"Kami gembira kerana banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama meringankan beban golongan asnaf ini di dalam memberikan keceriaan kerana tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri," katanya kepada Sinar Harian.

Jasnizam berkata, program tersebut juga adalah anjuran bersama Koperasi Kontraktor Padang Terap yang turut disertai beberapa NGO seperti Gerakan Belia 4B Padang Terap, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Padang Terap dan Akademi Seni Beladiri Sri Mahawangsa (SRIMAW).

Jelasnya, konvoi yang disertai rata-rata golongan belia itu turut disertai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Sri Ghazali Ibrahim.

"Pada program tersebut, kontraktor-kontraktor turut melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing dan secara langsung mereka boleh melihat apa keperluan yang diperlukan oleh penerima bantuan ini pada masa hadapan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!