Pengajaran bermakna titipan BSL

A
A
A

APA yang sudah terjadi kepada British Steel Limited (BSL)? Itulah persoalan yang menguasai berita sensasi di Britain sejak seminggu lalu. BSL ialah gergasi kedua terbesar dalam industri besi di Britain. Pada 2016, Greybull Capital membeli BSL dengan harga £1 (RM5.32) daripada Tata Steel.

Selepas pembelian tersebut, syarikat itu yang berpangkalan di Scunthorpe, selain memiliki kilang di Teeside, Cumbria dan North Yorkshire, menerima suntikan dana £400 juta (RM2.128 bilion). Greybull Capital kemudiannya mendabik dada kononnya BSL akan untung berlipatganda hanya selepas beberapa bulan diambil alih.

Ini kerana antara pelanggan terbesar BSL ialah Network Rail. Sekitar 95 peratus besi bagi membina laluan keretapi dibeli daripada BSL. Malangnya, BSL yang mempunyai 323,000 pekerja pada 1971, kini tersungkur menyembah bumi.

Operasinya terhenti dan BSL kini hanya tinggal nama. Walhal BSL ialah pengeluar tunggal besi rel keretapi di Britain. Paling menarik, industri besi dan pembuatan daripada besi ialah antara yang menawarkan pakej gaji menarik di negara tersebut.

Besi ialah satu elemen terpenting dalam pembinaan Britain dan di dunia berdekad lamanya. Kita semua tentu masih ingat penutupan Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja). Perwaja ialah syarikat gergasi pengeluar besi terbesar di Malaysia yang mewakili kejayaan Dasar Perindustrian Berat Negara (PBN) 1982. Selepas beberapa kali bertukar tangan, riwayat Perwaja tamat jua akhirnya sekalipun banyak usaha dilakukan untuk menyelamatkannya.

Apakah sebenarnya yang berlaku sehingga memaksa Perwaja dan BSL terpaksa ditutup walhal besi menjadi elemen terpenting dalam dunia pembinaan. Adakah ini bermakna penggunaan besi akan berkurangan dalam industri kejuruteraan pembangunan akan datang atau semuanya berkaitan dengan isu pengurusan?

ALLAH SWT telah menyatakan kehebatan penggunaan besi menandakan kekuatan secara simboliknya dalam surah Shaad [38:30-33] maksudnya, “Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya); (ingatlah) ketika dipertunjukkan kepadanya kuda-kuda yang tenang di waktu berhenti dan cepat waktu berlari pada waktu petang (selepas di pasangkan ladam besi pada kaki kuda);

Maka ia berkata: "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda itu hilang daripada pandangan; bawalah semua kuda itu kembali kepadaku. Lalu ia potong kaki (dipasangkan ladam besi) dan leher kuda itu.

Artikel Berkaitan:

”Penulis meramal penggunaan besi dan keluli akan terus menjadi resipi terpenting dalam dunia pembinaan kerana ALLAH telah mengisahkannya dalam al-Quran, Taurat dan Injil tentang seorang pemuda bernama Zulqarnain yang diutuskan ALLAH bagi mengajak kaumnya beriman kepada Penciptanya tetapi mendapat tentangan Ya’juj dan Ma’juj.

ALLAH mengurniakan Zulqarnain kekuasaan dan ilmu untuk memerintah bumi pada waktu itu. Sebagaimana kenyataan-Nya di dalam surah al-Kahf [18:95-96] bermaksud, “Zulkarnain berkata: Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhan ku kepada Ku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka; Berilah aku potongan-potongan besi, hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: Tiuplah (api itu) hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar ku tuangkan ke atas besi panas itu.”

Penulis membuat rumusan BSL dan Perwaja sebenarnya tidak diurus dengan baik. Semua bukti menunjukkan BSL menerima banyak pesanan pembelian daripada pelbagai pihak termasuk Network Rail. Penutupan Perwaja dan BSL juga tidak bermakna industri besi yang kurang relevan dalam pembinaan sesuatu bangunan. Seharusnya teknik pengurusan mantap mengikut panduan yang diberikan Rasulullah SAW diterapkan dalam sesebuah organisasi.

Tidak sampai setahun lalu, penulis membaca kisah penutupan operasi Carillion, sebuah gergasi pembinaan yang dipalit hutang £1.5 bilion (RM7.98 bilion). Kini, Britain terus dirundung malang dengan gugurnya BSL yang menjadi kebanggaan negara tersebut bertahun lamanya.

Sesungguhnya bencana yang menimpa BSL boleh berlaku di Malaysia dan kita harus mula mencari punca dan ubat bagi mengatasi bencana ini.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!