Polis IPD Jempol santuni pesara polis
Jempol - Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol (IPD) semalam meluangkan masa lebih tiga jam menyantuni pesara polis sekitar daerah ini sambil menyampaikan sumbangan sempena perayaan Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Mohd Nurhishamuddin Hashim berkata, usaha itu menjadi satu platform dalam merapatkan ukhwah silaturrahim warga polis IPD Jempol bersama pesara-pesara polis.
"Ianya secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan dan hasrat murni pucuk pimpinan polis (IPD Jempol) dalam memberikan tanda penghargaan kepada golongan masyarakat termasuk pesara-pesara polis.
"Dalam masa sama dapat meningkatkan keharmonian dan kebajikan komuniti setempat selain menyantuni masyarakat yang terdiri daripada pesara-pesara terutama yang sakit terlantar, "katanya selepas ditemui pada Program Ziarah Kasih dan pemberian sumbangan sempena Aidilfitri kepada pesara polis yang uzur.
Ziarah kali ini melibatkan kediaman pesara polis sekitar Kampung Jawa, Kampung Serting Ilir, Bukit Kebulur dan Batu Kikir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!