Polis Pahang kenal pasti 24 lokasi kerap berlaku kemalangan
KUANTAN - Sebanyak 24 lokasi yang dikenalpasti kerap berlaku kemalangan di Pahang akan diberi tumpuan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 15/2019.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kawasan terlibat membabitkan daerah Kuantan di Kilometer (KM) 49 Jalan Kuantan - Kemaman, Jalan Pintasan Kuantan - Bukit Rangin dan KM 18, Jalan Kuantan - Segamat.
Katanya, di daerah Pekan, lokasi terlibat di KM 63 - KM 79 Jalan Kuantan - Segamat dan KM 18 hingga KM 23 Jalan Pekan - Rompin.
“Bagi daerah Rompin di KM 104 – KM 110, KM 112 – KM 115 dan KM 120 – KM 124 Jalan Kuantan -Segamat manakala di daerah Maran lokasi kerap berlaku kemalangan yang akan diberi tumpuan iaitu di KM 27 - KM 47 Jalan Temerloh - Bandar Jengka, KM 100 – KM 102 dan KM 109 – KM 112 Jalan Kuantan - Kuala Lumpur.
“Tumpuan juga akan diberikan di daerah Temerloh terutama di lokasi KM 120 – KM 168 Jalan Temerloh - Kuala Lumpur, KM 8 - 42 Jalan Jerantut - Temerloh dan KM 1 – KM 15 Jalan Bera – Temerloh. Manakala bagi daerah Lipis di KM 7 – KM 24 Jalan Lipis - Benta, KM 8 dan KM 98 Jalan Lipis – Merapoh,” katanya.
Sementara itu katanya, hanya satu lokasi di Raub iaitu KM 325 – KM 326 Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu. Di Jerantut, KM 3 – KM 9 Jalan Jerantut – Temerloh, KM 4 – KM 6 Jalan Jerantut – Maran. Bagi daerah Bera di KM 14 – KM 33 dan KM 44 – KM 52 Jalan Temerloh – Bahau.
“Bagi di Bentong, KM 75 Jalan Kuala Lumpur - Karak dan KM 7 Jalan Bentong – Raub,” katanya.
Kamarulzaman berkata, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan di kawasan yang dikenalpasti itu supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati apabila menyedari kehadiran anggota polis.
Beliau berkata, pihaknya juga akan ditempatkan anggota di beberapa lokasi bagi memastikan kelancaran aliran trafik, terutamanya pada waktu puncak ketika orang ramai memulakan perjalanan pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri ini.
“Sepanjang Ops Selamat 13 2018, 1,045 kemalangan direkodkan di negeri ini dengan 22 kes melibatkan kemalangan maut yang mengorbankan 23 nyawa dan mangsa tertinggi melibatkan penunggang motosikal apabila mencatatkan sembilan kematian.
“Dalam tempoh itu juga, kita mengeluarkan 20,705 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berharap pada Ops Selamat 15 ini, jumlah kemalangan dapat dikurangkan terutama terutama kes-kes kemalangan maut.
“Kita juga berharap pengguna jalan raya mematuhi peraturan dengan mengamalkan pemanduan secara berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perkjalanan balik kampung dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!