Hyundai umum pembangunan ‘Kunci Digital’

A
A
A

HYUNDAI Motor Group menerusi syarikat peranti mudah alih dan keselamatan aplikasi Trustonic baru-baru mengumumkan pembangunan ‘Kunci Digital’ yang membolehkan pengguna membuka dan menghidupkan enjin kereta menerusi telefon pintar mereka.

Bakal menggantikan kunci fizikal, Kunci Digital boleh dimuat turun melalui satu aplikasi dan teknologi Near Field Communication (NFC) akan mengesan kehadiran kunci berkenaan berhampiran kereta.

Antena NFC diletakkan pada pemegang pintu pemandu dan penumpang hadapan. Sementara NFC pula untuk menghidupkan enjin berada pada pad pengecasan tanpa wayar di konsol tengah.

Pengguna hanya perlu meletakkan telefon pintar di atas pad berkenaan, kemudian tekan butang penghidup enjin. Ia boleh digunakan oleh empat orang tetapi perlu disahkan dahulu identitinya.

Sistem kunci itu juga menyimpan talaan kenderaan yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Jadi, tetapan seperti kedudukan cermin, tempat duduk, sistem audio, navigasi, head-up display dan stereng akan dilaraskan secara automatik. Kunci digital itu juga boleh digunakan untuk mengawal beberapa sistem tertentu dari jauh.

Menggunakan komunikasi Bluetooth Low Energy, pengguna boleh membuka dan mengunci kereta, mengaktifkan sistem penggera dan menghidupkan enjin.

Paling menarik, tahap akses fungsi kenderaan boleh diprogramkan berdasarkan kepada setiap pengguna. Pemilik juga boleh mengehadkan tempoh penggunaan kereta atau ciri-ciri tertentu apabila kenderaan diberi sewa.

Sebaik sahaja sistem perkongsian kereta semakin meluas, Kunci Digital akan diprogramkan untuk memudahkan pemilik dan penyewa. Jadi, mereka tidak perlu berjumpa dan cukup sekadar menghantar Digital Key menerusi aplikasi telefon pintar. Hyundai Motor Group merancang untuk mengimplementasikan teknologi ini ke atas model-model baharu mulai akhir tahun ini secara peransur-ansur.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!