JPJ Melaka keluar 11 notis saman bas ekspres
Operasi yang bermula dari jam 8.30 hingga 11 pagi itu diketuai Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Sharif dan lebih menumpu pemeriksaan terhadap bas ekspres.
Menurut Muhammad Firdaus, sebanyak 13 buah bas diperiksa dan pihaknya mengesan sekurang-sekurangnya lapan jenis kesalahan termasuk tayar tiada bunga, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, odometer gagal berfungsi, tiada pemadam api, tiada pemandu kedua dan tiada peti kecemasan.
"Pemeriksaan pada hari ini kita akan jalankan secara berkala selaras dengan perkembangan semasa di mana Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) akan dipinda untuk memberikan kuasa kepada Kementerian Pengangkutan, APAD dan JPJ dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) juga akan dipinda untuk beri kuasa kepada JPJ.
"Justeru, mulai tahun hadapan, kita akan selaraskan beberapa perkara di bawah APAD antaranya berkaitan pengandalian lesen tamat tempoh, jadual laluan, akta kelakuan pemandu, hal berkaitan penumpang, tambang, berkaitan penyelenggaraan kenderaan itu sendiri," katanya selepas operasi berkenaan.
Turut sama, Pengurus Besar Melaka Sentral, Mohd Yusof Abdullah.
Jelas Muhammad Firdaus lagi, penguatkuasaan kesemua perkara tersebut sudah dimulakan kini namun akan diperhebatkan lagi pada tahun hadapan bagi memastikan keselamatan pemandu dan juga penumpang di jalan raya.
"Selain itu, JPJ juga akan menumpukan terhadap beberapa perkara lain seperti penggunaan tayar, alat pemadam api, alat bantuan kecemasan, tong sampah, tanda larangan buang sampah, penyelenggaraan kenderaan dan alat petunjuk destinasi.
"Kita turut beri perhatian terhadap sikap kesopanan dan kekemasan pemandu itu sendiri di mana kita akan mengambil tindakan terhadap pemandu yang melanggar arahan ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, pihak Melaka Sentral sudahpun menyediakan ruang pejabat untuk kegunaan JPJ bagi memudahkan urusan pengoperasian dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!