Siasat punca kuota subsidi minyak diesel berkurangan
PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak akan menyiasat punca pengurangan kuota subsidi bulanan minyak diesel yang diperuntukkan kepada nelayan pada tahun ini berbanding tahun 2018 dalam masa terdekat.
Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, inisiatif itu akan diambil susulan aduan dikemukakan lebih 1,000 nelayan daerah Manjung menyuarakan kesulitan turun ke laut mencari rezeki gara-gara kuota subsidi bulanan minyak diesel diperuntukkan kepada mereka tidak dapat ditebus.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak bahawa kuota subsidi bulanan minyak diesel diperuntukkan untuk nelayan negeri Perak habis diagihkan memandangkan sudah hujung bulan.
"Saya turut dimaklumkan nelayan di seluruh negara mengalami kekurangan kuota subsidi bulanan bahan bakar itu sebanyak 20 juta liter di kawasan semenanjung Malaysia sejak bulan Januari lalu.
"Pengurangan kuota 20 juta liter meliputi jumlah pemberian kuota subsidi bulanan minyak diesel hanya 60 juta liter sebulan bagi tahun 2019 untuk seluruh negara berbanding 80 juta liter sebulan pada tahun 2018 diperuntukkan Kementerian Kewangan," katanya kepada media selepas merasmikan Program Sumbangan Peduli Rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat DUN Kuala Kurau di Dewan MPKK Tanjung Piandang di sini hari ini.
Program itu menyaksikan Abdul Yunus menyerahkan sumbangan beras dan wang tunai kepada 700 penerima bantuan terdiri golongan fakir miskin, asnaf, ibu tunggal, dan anak yatim seluruh DUN Kuala Kurau.
Abdul Yunus yang juga ADUN Kuala Kurau berkata, susulan langkah Kementerian Kewangan mengurangkan kuota subsidi minyak diesel bulanan tersebut, jadi memang berlaku pengurangan kuota subsidi bahan bakar itu di semua pusat jualan negara sejak awal tahun melibatkan sebahagian Persatuan Nelayan Kawasan(PNK).
Bagaimanapun, Abdul Yunus menegaskan LKIM Perak memberi jaminan masalah kuota subsidi minyak diesel bulanan itu akan pulih pada keesokkan hari susulan kehadiran bulan baru.
"Cuma bagi nelayan-nelayan yang tidak dapat mencukupkan kuota subsidi minyak diesel bulanan diperuntukkan kepada mereka sebelum ini, tiada penggantian akan dibuat.
"Kerajaan negeri sebenarnya peka dengan keluhan dikemukakan golongan nelayan ini dan bersedia menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perkara ini dalam masa terdekat," katanya.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan keluhan nelayan daerah Manjung yang mengalami kesukaran untuk turun ke laut mencari rezeki susulan tidak dapat menuntut kuota subsidi minyak diesel bulanan yang diperuntukkan kepada mereka sejak tiga hari lalu.
Senario itu turut dibimbangi akan mempengaruhi kestabilan harga hasil laut di samping mengundang dilema lebih 1,000 nelayan yang bergantung bantuan itu untuk meningkatkan pendapatan bulanan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!