PKA fokus tingkat kecekapan pengurusan kargo

Subramaniam (dua dari kanan) memberi taklimat kepada Hian Wah di Ibu Pejabat KPA hari ini.
Subramaniam (dua dari kanan) memberi taklimat kepada Hian Wah di Ibu Pejabat KPA hari ini.
A
A
A

KLANG - Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) memfokuskan untuk meningkatkan kecekapan dalam aspek pengurusan kargo melalui jalinan kerjasama erat dengan agensi-agensi berkaitan.

Pengerusinya, Ean Yong Hian Wah berkata untuk tujuan itu, pihaknya merancang untuk menubuhkan pusat sehenti bagi menyeragamkan prosedur dan peraturan sedia ada melibatkan 28 agensi berkaitan dalam usaha untuk mempercepatkan pelepasan kargo di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, buat masa ini,aspek perhubungan bersama 28 agensi berkenaan tidak begitu kemas dan memerlukan masa lebih panjang untuk mendapatkan kelulusan pelepasan kargo.

"Jadi dengan adanya pusat sehenti ini, setiap urusan boleh dilakukan setempat dengan menggunakan sistem elektronik yang boleh mempercepatkan pelepasan kargo," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Ibu Pejabat PKA bagi memulakan tugas di sana.

Hian Wah memulakan tugas sebagai Pengerusi PKA hari ini.
Hian Wah memulakan tugas sebagai Pengerusi PKA hari ini.

Sebelum ini, Hian Wah yang merupakan bekas Exco Selangor dilantik sebagai pengerusi PKA untuk tempoh dua tahun bermula 18 Mei lepas.

Dalam majlis itu, Hian Wah diberi taklimat oleh Pengurus Besar PKA, Kapten Subramaniam Karuppiah mengenai operasi organisasi terbabit.

Mengulas mengenai pelantikan baki sembilan lagi ahli lembaga pengarah PKA, Hian Wah berkata perkara itu akan diputuskan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Pelantikan ini akan dibuat melalui perbincangan antara menteri dan saya," katanya.

Dalam pada itu, Hian Wah berkata PKA juga mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri dan pusat bagi menambah baik keadaan infrastruktur di sekeliling kawasan pelabuhan ini.

Ujar beliau, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung perkara itu selepas ini. "Ini akan menjadi salah satu misi saya kerana pelabuhan ini adalah yang terbesar di Malaysia dan keadaan infrastruktur juga seharusnya terbaik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!