Lima beranak tinggal sehelai sepinggang
KUALA TERENGGANU - Lima beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran di Flat Yayasan Pembangunan Keluarga, Chendering, di sini malam tadi.
Kejadian beberapa hari menjelang Aidilfitri itu berlaku kira-kira jam 9.45 malam, bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan kerana semua penghuni tiada dalam rumah ketika kejadian.
Menurut mangsa, seorang peniaga, Mohd Khaizuan Roslan Affandi, 38, semasa kejadian, dia berada di tempat kerja sebelum dihubungi jiran memaklumkan rumahnya terbakar.
"Terkejut dengan kejadian itu, saya terus bergegas balik dan setibanya di rumah, saya dapati hampir separuh bahagian rumah sudah dijilat api.
"Memang ketika itu, langsung tidak terlintas untuk masuk dan menyelamatkan apa yang patut kerana api sedang marak.
"Selain dokumen penting, habis persiapan raya yang dibuat isteri sejak seminggu lepas hangus termasuk baju raya anak-anak dan kuih muih," kata bapa kepada tiga anak ini ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jelas Mohd Khaizuan lagi, isterinya, Tuan Norlida Tuan Ariffin, 27, yang terlalu terkejut sejurus melihat rumah sewa mereka terbakar terus pengsan di lokasi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, sejurus menerima panggilan, seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Jelasnya, ketika sampai api sedang marak membakar rumah di tingkat empat flat berkenaan dan pihaknya mengambil masa enam minit bagi mengawal kebakaran.
"Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!