'Jangan sampai menyusahkan tuan rumah'

USTAZ WAN AKASHAH
USTAZ WAN AKASHAH
A
A
A

MESKIPUN ziarah itu dituntut dalam Islam, namun jangan sampai kita mahupun ahli keluarga merosakkan majlis Hari Raya Aidilfitri tuan rumah.

Itu ingatan pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid kepada ibu bapa jika anak mereka tidak boleh dikawal ketika bertandang ke rumah orang.

"Sebelum pergi ke rumah orang, kita kena pesan kepada anak-anak kita supaya duduk di tempat yang disediakan dan tidak pergi ke dapur, merosakkan harta benda atau haiwan peliharaan tuan rumah dan sebagainya.

"Ada masa-masa tertentu yang tidak sesuai iaitu ketika anak ngantuk atau lapar. Jika mereka tidak dapat dikawal, cepat-cepat minta izin untuk balik. Jangan duduk lagi. Kalau anak kita boleh merosakkan majlis, lebih baik kita undurkan diri supaya majlis itu tidak rosak disebabkan kita atau ahli keluarga kita," katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan agar setiap daripada kita memperbetulkan niat ziarah iaitu bukan untuk makan. Sebaliknya, untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan.

"Lagi satu, elakkan ziarah pada tiga waktu ini iaitu sebelum Subuh, tengah hari dan selepas Isyak. Tuan rumah juga hendak berehat. Perkara ini ada disebut di dalam al-Quran. Jika mahu juga berziarah waktu itu, minta kebenaran masa terlebih dulu daripada tuan rumah," ujarnya.

IMAM MUDA ARAN
IMAM MUDA ARAN

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tokoh agama Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menitipkan pesan supaya tetamu tidak menyusahkan tuan rumah jika mahu raya secara konvoi.

"Tiada masalah raya beramai-ramai, cuma kita kena pandai bawa diri. Jangan sampai kita menyusahkan tuan rumah. Tunjukkan kesungguhan bahawa kita datang untuk menziarahinya, bukan untuk makan.

"Namun, jika tuan rumah tetap mahu menjamu makanan kepada kita dengan seikhlasnya, maka kita bantulah mereka menghidangkan makanan atau minuman, angkat dulang dan sebagainya," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!