RON97 turun 13 sen sempena Aidilfitri
PUTRAJAYA - Sempena musim cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri, kerajaan memutuskan harga runcit petrol RON97 turun 13 sen seliter iaitu daripada RM2.76 seliter kepada RM2.63 seliter bagi tempoh dua minggu bermula esok sehingga 14 Jun depan.
Sementara harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada kadar RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, selepas 14 Jun 2019, penetapan harga runcit produk petroleum ini akan kembali kepada asal di mana penetapan akan dibuat secara mingguan.
“Penurunan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.33 seliter dan RM2.40 seliter masing-masing.
“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Kementerian berkata, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 1 Jun sehingga 14 Jun adalah berjumlah RM165.27 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!