Pemandu tak perasan, wanita maut motosikal dirempuh MPV
JASIN - Seorang gadis maut apabila motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Merlimau, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah (AMJ) di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian lebih kurang jam 7.30 malam itu, mangsa Tan Leik Fong, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dipercayai baru pulang dari tempat kerjanya di sebuah kilang.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa dari arah Jasin melalui Jalan Merlimau-Jasin manakala kenderaan MPV jenis Toyota Alphard yang dipandu kontraktor lelaki berusia 62 tahun dari arah Muar menghala ke Melaka.
Menurutnya, setiba di tempat kejadian pemandu lelaki berkenaan tidak dapat mengelak dan melanggar motosikal mangsa yang berada di lampu isyarat Lebuh AMJ Merlimau.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan mengalami cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!