18 keluarga tinggal sehelai sepinggang

18 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah 100 peratus dalam kejadian pada Rabu lalu.
18 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah 100 peratus dalam kejadian pada Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - 18 keluarga yang menetap di Kampung Penchala Hilir tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dijilat api dalam kejadian yang berlaku pada Rabu lalu.

Difahamkan, kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 1.15 tengah hari.

Menurut mangsa, Mohd Rahmal Tamboyo,59, sewaktu kejadian, dia sedang menjaga anaknya di dalam bilik sebelum terdengar jeritan orang ramai di luar rumah.

"Ketika saya keluar, saya nampak asap sudah tebal dan api semakin merebak ke kediaman lain yang ada di sini.

"Tanpa membuang masa, saya terus bawa anak keluar tanpa sempat menyelamat barangan penting di dalam rumah pada waktu itu,"katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rahmal berkata antara barangan yang musnah sewaktu kejadian adalah peti sejuk, dokumen pengenalan diri, cincin serta beberapa barangan lain.

Dia yang sudah enam bulan menetap di sini memaklumkan anggaran keseluruhan kerugian dialaminya adalah sekitar RM8,000.

"Kejadian ini berlaku dengan begitu pantas dan semua mangsa tidak sempat menyelamatkan barangan penting pada waktu itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kediaman penduduk musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Penchala Hilir, Rabu lalu.
Kediaman penduduk musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Penchala Hilir, Rabu lalu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nasiruddin Murdalin,38, berkata, persiapan dan barangan keperluan raya yang dibelinya sebelum ini turut musnah dalam kejadian itu.

Dia berkata, walaupun sambutan raya pada tahun ini penuh kedukaan, namun dia bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada waktu itu.

"Memang saya dah beli kelengkapan untuk anak dan isteri sempena raya ini namun semuanya telah musnah terbakar,"katanya.

Sementara itu, menurut pemilik tanah, Mahat Waris, 80, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan buat masa ini siasatan masih dijalankan oleh pihak berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Mahat berkata pada waktu kebakaran itu berlaku, dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah.

"Selepas solat saya keluar dan lihat asap serta api semakin tebal. Kemudian saya terus melaungkan azan bagi memohon pertolongan ALLAH,"katanya.

Buat masa ini, Mahat berkata mangsa terlibat ditempatkan di surau yang terletak bersebelahan lokasi kejadian itu.

"Punca kejadian masih belum diketahui buat dan pihak berkuasa sedang giat menjalankan siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!