Polis awasi lokasi panas termasuk LPT2

Baharudin (empat dari kanan) mengetuai Konvoi Iftar Ramadan IPD Dungun semalam.
Baharudin (empat dari kanan) mengetuai Konvoi Iftar Ramadan IPD Dungun semalam.
A
A
A

DUNGUN - Polis akan mempertingkatkan pengawasan di tiga lokasi panas di jalan Persekutuan termasuk beberapa lokasi di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang sering berlaku kemalangan maut di daerah ini pada musim perayaan sekarang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, tiga lokasi jalan Persekutuan berkenaan ialah Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di KM78 di Kampung Pulau Serai; KM86 di Bukit Bauk dan KM100 di Bandar Paka.

Katanya, laluan itu merupakan lokasi yang sering berlaku kemalangan maut dan pihaknya menjangkakan akan berlaku pertambahan kenderaan pada minggu terakhir Ramadhan ini.

"Kita akan tempatkan seramai 20 orang anggota polis trafik di tiga lokasi ini untuk memantau aliran trafik dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan.

"Selain itu beberapa lokasi yang kerap berlaku kemalangan di LPT2 di laluan kawasan Paka, Bukit Besi dan Kuala Dungun akan turut diawasi," katanya pada Konvoi Iftar Ramadan IPD Dungun sempena Ops Selamat, semalam.

Sempena program itu, Baharudin yang mengetuai konvoi dari IPD Dungun singgah menyampaikan risalah pencegahan jenayah dan keselamatan di Bazar Ramadan Batu 48 Dungun dan Paka sebelum melakukan sekatan jalan raya di Paka serta berbuka puasa di lokasi itu.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, anggotanya akan memantau sepanjang masa di laluan dikenal pasti untuk mengelak tragedi kemalangan maut berlaku di situ.

Katanya, Dungun mencatatkan sebanyak 52 kes kematian akibat kemalangan pada tahun lalu dan sehingga 30 Mei, kelmarin sebanyak 15 kes kematian direkodkan.

Artikel Berkaitan:

"Punca utama yang menyebabkan berlakunya kemalangan adalah disebabkan oleh sikap pemandu itu sendiri di mana memandu di dalam keadaan mengantuk, memandu laju serta memandu laju dalam hujan lebat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!