Narendra Modi angkat sumpah PM India untuk penggal kedua
Modi mendahului senarai lebih 50 menteri kabinet dan timbalan menteri yang mengangkat sumpah dalam majlis yang berlangsung di Istana Presiden dengan kehadiran 8,000 tetamu termasuk pemimpin Asia Selatan, bintang ternama Bollywood dan tokoh politik terkemuka.
Presiden dan Perdana Menteri daripada negara jiran seperti Bangladesh, Sri Lanka, Nepal dan Maldives turut hadir namun wakil dari Pakistan tidak berada dalam senarai jemputan.
Pemimpin Parti Kongres Kebangsaan India (INC), Rahul Gandhi yang kalah teruk di wilayah Amethi yang juga kubu kuat dinasti Nehru-Gandhi turut hadir ke majlis tersebut ditemani ibunya, Sonia Gandhi.
Sementara itu, penyokong setia Modi bertepuk tangan sambil menjerit nama pemimpin itu ketika beliau menuju ke podium bagi melafaz sumpah sebagai Perdana Menteri India untuk penggal kedua.
"Berbangga dapat berkhidmat untuk India dan bersama-sama kita akan memajukan negara," tulis Modi di laman Twitter selepas majlis tersebut.
Modi dan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya meraih kemenangan besar pada pilihan raya umum India yang lalu sekali gus memberi mandat kepada pemimpin berusia 68 tahun itu untuk memenuhi janjinya membangun 'India Baharu'.
Berdepan cabaran ekonomi dan krisis hutang petani, Modi menggantikan sejumlah menteri dan timbalan menteri daripada pentadbiran lalu dengan muka baharu dan akan memfokuskan kepada agenda nasionalis.
"Nasionalisme adalah inspirasi kami dan tadbir urus yang baik adalah moto kami," kata Modi ketika melancarkan manifesto yang turut menjanjikan peluang pekerjaan buat 1.2 juta penduduk yang masih menganggur. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!