Semangat juang Amer
PELUMBA go-kart profesional negara, Amer Harris Jefry membuktikan kecederaan bukanlah penghalang untuk mencipta kemenangan selepas menjuarai perlumbaan Pusingan 3 Piala IAME Asia 2019.
Pada perlumbaan di Litar Bira Kart, Pattaya, Thailand minggu lalu, Amer yang beraksi bersama DRM Racing Team terpaksa berlumba dalam kesakitan pada bahagian kaki kirinya selepas terlibat dengan kemalangan ketika Heat 1 sehari sebelum itu.
Insiden ngeri yang berlaku pada Sabtu itu terjadi ketika Amer sedang memecut melebihi 100km/j dengan baki empat pusingan lagi sebelum terbabas dan memaksanya dikejarkan ke hospital.
Bagaimanapun, mujur tiada kecederaan serius menimpa anak muda berusia 16 tahun itu sebaliknya hanya merasai kesakitan pada kaki kiri yang menyukarkannya untuk bergerak.
Disebabkan tidak beraksi pada Heat 2 dan 3 akibat insiden itu, Amer bukan sahaja terpaksa beraksi dalam sakit, bahkan turut terpaksa bermula di petak paling belakang dalam sesi pra final untuk menentukan kedudukan di perlumbaan sebenar sehingga membolehkannya bermula di petak kesembilan.
Hasil semangat juangnya yang tinggi, Amer berjaya memintas satu demi satu pencabarnya untuk memastikan gelaran juara pusingan ketiga menjadi miliknya.
“Produksi Hollywood sekalipun tidak mampu menulis kisah seperti ini apabila terbabas pada kelajuan melebihi 100 km/j dalam pemanduan jentera yang tidak mempunyai brek.
“Kemenangan dengan hanya satu kaki sahaja yang berfungsi pada pusingan ketiga ini pastinya tidak akan saya lupakan. Bila anda jatuh, anda perlu bangkit lebih kuat dan jangan sesekali patah semangat.
“Dengan hanya berbaki tiga pusingan lagi, semuanya tampak baik untuk saya. Ayuh akhirinya dengan penuh bergaya,” kata Amer di laman Facebooknya.
Ketika ini, Amer sedang memimpin kedudukan pendahulu kategori senior dengan mengutip 121 mata.
Selepas ini, dia bakal beraksi di laman sendiri iaitu di Litar Kart Antarabangsa Sepang bagi menghadapi pusingan keempat pada 6 dan 7 Julai depan sebelum bergerak Pulau Langkawi pada 3 dan 4 Ogos untuk aksi berikutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!