Khoo Kay Kim yang disanjung tinggi

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim -Foto Bernama
Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim -Foto Bernama
A
A
A

APABILA mendengar berita pemergian Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, saya sebagai seorang bekas pelajar dan sahabat berasa amat sedih dan terkesan dengan kehilangan beliau. Saya terhutang budi dengan mendiang sejak menuntut di peringkat Ijazah Pertama (1972) di Jabatan Sejarah, serta Sarjana (1979) dan Doktor Falsafah (1997) di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM).

Di samping berguru dengan mendiang, beliau juga merupakan seorang sahabat yang tidak jemu memberi sokongan dalam usaha memartabatkan sejarah tanah air. Mendiang adalah anak jati Malaysia yang tinggi semangat patriotisme dan patut dijadikan suri tauladan kepada semua warganegara.

Mendiang adalah seorang tokoh yang berprinsip dan jujur mentaati sejarah, Perlembagaan dan Rukun Negara. Sebagai ahli sejarah dan akademik yang tersohor, mendiang menjadi pakar rujuk negara dan terlibat dalam pembentukan Rukun Negara, membina silibus sejarah tanah air, serta menghormati status dan peruntukan dalam Perlembagaan.

Mendiang sering mengingatkan khalayak tentang sistem pentadbiran Malaysia yang berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, serta peri pentingnya rakyat menghormati institusi Raja Melayu dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera, serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mendiang juga memperbetulkan tafsiran sejarah yang terpesong seperti dakwaan kononnya Yap Ah Loy yang membuka Kuala Lumpur, sehingga mendiang tidak disenangi oleh segelintir orang Cina.

Perjuangan mendiang dalam membina negara Malaysia yang kukuh dan bersatu padu sentiasa konsisten sepanjang hidupnya. Justeru, mendiang menyokong penuh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) yang mensasarkan peningkatan penglibatan orang Melayu dan Bumiputera dalam segala bidang, terutamanya dalam sektor ekonomi dan pendidikan.

Bagi mengisi dan melaksanakan dasar yang murni ini, mendiang telah memainkan peranan penting dalam melantik dan mendidik pelajar Melayu menjadi tutor dan pensyarah di Jabatan Sejarah UM. Pada awal tahun 1970-an, pensyarah Melayu amat kecil bilangannya dan kebanyakan kuliah dijalankan dalam bahasa Inggeris. Sebagai Ketua Jabatan Sejarah, mendiang telah berjaya mengimbangi jurang bagi memenuhi kekosongan dengan menambah bilangan pensyarah Bumiputera dan mewajibkan pengajaran dalam bahasa Melayu di Jabatan Sejarah UM.

Mentor

Mendiang mengambil daya usaha untuk meramaikan tutor dan pensyarah daripada kalangan Melayu dan memberi mereka peluang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah. Antaranya Datuk Nazri Abdullah, Datuk Sanib Mohd Said, Dr Mahmud Embong, Profesor Emeritus Datuk Abdullah Zakaria, Profesor Datuk Ramlah Adam, Dr Adnan Nawang, Profesor Emeritus Datuk Mohd Yusuf Hashim dan saya sendiri. Mendiang juga turut membantu pensyarah lain berkhidmat di Jabatan Sejarah Universiti Malaya seperti Fadhil Othman, Datuk Malik Munip dan Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.

Saya amat terhutang budi dan sentiasa mengenang jasanya kerana mendiang adalah penggerak dan penyokong kuat yang mendorong saya sehingga berjaya dalam dunia akademik. Begitu juga mentor saya, Allahyarham Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein dalam Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang sentiasa menyokong kerjaya saya dalam dunia akademik. Kedua-dua tokoh inilah yang amat berjasa kepada saya dalam dunia akademik dan perjuangan memartabatkan warisan dan peradaban Melayu yang menjadi teras kepada peradaban Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sejak menjadi pelajar di Jabatan Sejarah UM (1972), saya sangat aktif dalam Persatuan Sejarah sebagai naib presiden, bergiat dalam kumpulan kesenian (Kesuma) serta menyertai program Persatuan Bahasa Melayu. Mendiang selaku penasihat persatuan telah mencetus minat saya untuk menjalankan penyelidikan berkaitan sejarah tanah air dengan memberi fokus kepada sejarah patriotisme dan nasionalisme di Rumpun Melayu. Saya memilih jurusan Nasionalisme di peringkat Ijazah Pertama di Jabatan Sejarah. Atas nasihat mendiang, saya telah memilih tajuk kajian ilmiah saya dengan memberi tumpuan kepada sumbangan Ishak Haji Muhammad dalam membina masyarakat Melayu melalui kerjayanya sebagai penulis dan wartawan.

No Image Caption

Selama ini, peranan Ishak Haji Muhammad banyak ditumpukan aspek kesusasteraan Melayu. Atas nasihat mendiang, saya telah menumpukan kajian terhadap peranan Ishak sebagai seorang penulis prosa dan wartawan yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan realiti sebenar masyarakat Melayu sebelum mencapai kemerdekaan.

Syukur kepada ALLAH, saya memperolehi keputusan cemerlang sehingga kajian itu dicadang untuk diterbitkan. Atas cadangan mendiang dan sokongan Profesor Diraja Ungku Aziz, Naib Canselor UM ketika itu, kajian ilmiah itu telah diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya pada 1976. Kejayaan penyelidikan itu melayakkan saya dilantik menjadi pengajar di Jabatan Sejarah UM.

Nukilan beliau dalam prakata buku tersebut sentiasa menyemarakkan semangat saya untuk terus berjuang dalam dunia akademik:

"Penulis buku ini, Abdul Latiff bin Abu Bakar ialah seorang sejarawan muda yang berbakat. Ini adalah kali pertama sebuah kajian ilmiah Jabatan ini diterbitkan. Itu dengan sendirinya menunjukkan betapa tingginya kecapaian Abdul Latiff. Ia juga membuktikan bahawa penuntut yang rajin dan sungguh-sungguh berminat dalam sejarah bisa menyelesaikan kajian amat tinggi mutunya. Mudah-mudahan kejayaan Abdul Latiff akan memberi perangsang kepada para penuntut sejarah lain kerana pengajian sejarah sesungguhnya tidak lengkap jika sekiranya seseorang penuntut itu belum pernah alami kepahitan dan keseronokan percubaan menyelidiki dan menulis sejarah."

Perangsang

Setelah dilantik menjadi pengajar, saya telah menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dengan menumpukan kajian terhadap peranan Abdul Rahim Kajai sebagai wartawan dan sasterawan sebelum 1943. Mendiang turut membantu dan sentiasa terbuka untuk berbincang bagi menghasilkan kajian berkaitan peri pentingnya dunia kewartawanan dan kesusasteraan mengikut kaca mata ilmu sejarah. Kajian ini berjaya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1982 dengan tajuk Abdul Rahim Kajai: Wartawan dan Sasterawan Melayu.

Sekali lagi beliau mencoretkan kata-kata semangat dalam prakata buku tersebut:

"Sebelum tumpuan terhadap tokoh-tokoh yang telah disebutkan tadi, pengetahuan tentang masyarakat Melayu pada tahun 1930-an hanya secara umum sahaja. Melalui kajian tentang Ibrahim bin Haji Yaacob serta Harun Aminurrashid (walaupun kedua-duanya secara ringkas saja) Ishak Haji Muhammad dan sekarang Abdul Rahim Kajai, Abdul Latiff Abu Bakar telah berjaya mendedahkan sikap orang Melayu terhadap berbagai perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka. Dan sumbangan beliau dalam bidang penulisan biografi ini agak besar dan sangat bernilai.

"Mudah-mudahan buku ini akan memberi perangsang dan ilham kepada pengkaji-pengkaji lain supaya lebih banyak lagi penulisan biografi dilahirkan dengan cara yang ilmiah dan profesional. Generasi sekarang dan yang akan datang perlu mengetahui tentang pengaruh dan perkembangan, lebih-lebih lagi individu-individu, yang telah mengubah bentuk dan sifat masyarakat Melayu. Ilmu tidak pernah merugikan manusia; kejahilan boleh menimbulkan sikap yang negatif."

Setelah berjaya memperolehi Sarjana pada 1979, atas sokongan mendiang dan Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid, saya telah dilantik menjadi pensyarah di Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Jabatan Pengajian Melayu (1980). Seterusnya dilantik menjadi Ketua Jabatan Penulisan apabila Jabatan Penulisan diwujudkan pada 1987. Saya telah mendaftar untuk pengajian Doktor Falsafah dengan kajian bertajuk Peranan Utusan Melayu dalam Pilihan Raya Persekutuan 1959-1964 di bawah penyeliaan mendiang bersama Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid. Atas sokongan mendiang, kajian ini diterbitkan Fajar Bakti (di bawah Oxford Press) bertajuk Peranan Media dalam Pilihan Raya Persekutuan pada 1998.

* Profesor Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar ialah Pengerusi Majlis Penasihat Adat dan Warisan Peradaban Melayu (LBM) dan seorang tokoh akademik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!