Perang cukai Trump ke atas barangan Mexico

Pengawal sempadan menghalang kemasukan pendatang haram dari Mexico ke AS.
Pengawal sempadan menghalang kemasukan pendatang haram dari Mexico ke AS.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif ke atas kesemua barangan dari Mexico untuk mengekang kebanjiran pendatang haram dari sempadan selatan negara itu yang dilihat sebagai cabaran langsung kepada Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador.

Trump mengumumkan keputusan unilateral itu menerusi Twitter kelmarin dan memaklumkan cukai tersebut akan bermula pada kadar lima peratus dan terus meningkat sehingga masalah migran itu berjaya diselesaikan kerajaan Mexico. Menerusi kenyataan yang dipaparkan pada laman Rumah Putih, cukai tertinggi pada jumlah lima peratus yang akan bermula pada 10 Jun depan dan meningkat setiap bulan sehingga mencapai kadar 25 peratus pada 1 Oktober depan.

“Cukai tersebut akan ditarik balik atas budi bicara jika krisis pendatang haram ditangani secara efektif oleh kerajaan Mexico,” kata Trump.

Keputusan Trump itu dijangka memburukkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara yang bergantung penuh terhadap aliran barangan lintas sempadan. Obrador turut menghantar surat kepada Trump menyatakan beliau tidak mahu terlibat konfrontasi dan menggesa sesi dialog diadakan untuk membincangkan tentang isu pendatang haram tersebut.

“Saya cadangkan kita berunding bagi mencari alternatif lain untuk masalah migrasi tersebut,” jelas kandungan surat tersebut. Pengumuman perang baharu cukai itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap para pelabur yang khuatir ia bakal memberi kesan kepada ekonomi global.

Susulan pengumuman itu, mata wang peso, indeks saham AS dan pasaran saham Asia dilaporkan mengalami kejatuhan termasuk saham pembuat kereta Jepun yang menghantar kereta dari Mexico ke Washington. Rabu lalu, pengawal sempadan menahan 1,036 migran yang memasuki negara itu tanpa dokumen sah dari Mexico dan ia merupakan kumpulan tunggal terbesar sejak Oktober lalu.

Data menunjukkan 80,000 pendatang haram telah ditahan dan secara purata 4,500 ketibaan direkodkan pada setiap hari.

Dalam perkembangan berkaitan, Hakim Mahkamah Daerah AS, Haywood Gilliam di Oakland, California menolak usaha pentadbiran Trump untuk memulakan pembinaan tembok sempadan dengan Mexico.

Artikel Berkaitan:

Pentadbiran Trump memberitahu ia merancang untuk mengalihkan AS$6.7 bilion (RM28.1 bilion) daripada Jabatan Pertahanan dan Perbendaharaan untuk meneruskan projek kontroversi tersebut selepas ia gagal meyakinkan Kongres.

Minggu lalu, hakim mahkamah persekutuan terbabit turut menyekat pemindahan awal berjumlah AS$1 bilion (RM4.2 bilion) selepas mendapati tindakan mengalihkan daripada program lain melanggar prinsip pemisahan kuasa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!