Negara Arab kecam Iran
PARA pemimpin negara-negara Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) secara terbuka mengutuk penglibatan Iran dalam kegiatan keganasan di Asia Barat.Dalam siri ucapan pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Liga Arab dan GCC di sini awal pagi kelmarin, ketua-ketua negara Arab mengecam Iran yang disifatkan bertindak untuk menimbulkan ketidakstabilan di rantau ini.
Negara-negara Arab mengeluarkan kenyataan tegas meminta Iran dihalang daripada memperoleh keupayaan nuklear.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz dalam titahnya pada sidang kemuncak itu menamakan Iran sebagai pihak yang menyokong keganasan selama empat dekad dan sentiasa campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara di Asia Barat.
“Campur tangan rejim Iran dalam hal ehwal dalaman negara rantau ini, usahanya membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu, dan ancaman terhadap kebebasan pelayaran kapal-kapal membahayakan bekalan minyak dunia,’’ titah baginda.
Raja Salman menambah, apa yang dilakukan Iran itu dianggap mencabar secara terang-terangan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), prinsip-prinsip dan undang-undang bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Baginda memberikan contoh tindakan jenayah Iran terhadap laluan penting perdagangan termasuk perbuatan sabotaj empat buah kapal tangki minyak di perairan Emeriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini selain menyasarkan dua paip minyak dan kemudahan lain di Arab Saudi.
Dalam nada tegas, Raja Salman memberi amaran bahawa ketiadaan pencegahan dan tindakan untuk mengekang aktiviti subversif rejim Iran membawa kepada berterusannya perbuatan tersebut.
Raja Salman menuntut masyarakat antarabangsa menggunakan segala cara menghentikan penglibatan Iran itu.
Selain Raja Salman, sebahagian besar pemimpin negara Arab lain juga berucap mengutuk Iran yang memboikot mesyuarat terbesar negara-negara Islam di Makkah.
Antara kandungan lain kenyataan pada akhir Sidang Kemuncak Liga Arab dan GCC ialah:
•Mengecam penglibatan Iran dalam krisis Syria dan kesannya kepada keutuhan Syria.
•Mengutuk pelancaran peluru berpandu balistik buatan Iran dari Yemen ke arah Arab Saudi.
•Mengutuk campur tangan Iran dalam hal ehwal Bahrain, dan menyokong kumpulan pengganas di negara itu.
•Mengutuk perbuatan Iran menduduki tiga buah pulau milik UAE.
Raja Salman memanggil dua sidang kemuncak tergempar Liga Arab dan GCC serentak dengan Sidang Kemuncak OIC Kali ke-14 bertemakan ‘Sidang Kemuncak Makkah: Berganding Bersama Ke Arah Masa Depan’ yang berlangsung selang sehari.Baginda membuat rumusan yang lantang terhadap Iran selepas ucapan-ucapan disampaikan oleh Setiausaha Agung Liga Arab, Dr Ahmed Aboul Gheit; Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi;
Pemerintah Jordan, Raja Abdullah II; Presiden Iraq, Barham Saleh; Pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah; Presiden Palestin, Mahmoud Abbas; Presiden Mauritania, Mohamed Ould Abdel Aziz; Presiden Djibouti, Ismail Omar Jila; Pengerusi Majlis Peralihan Tentera Sudan, Abdel Fattah El Borhan; Perdana Menteri Lebanon, Saad Al-Hariri dan Presiden Comoros, Osman Al-Ghazali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!