Hanya kasih pada yang jauh
SETIAP insan dikurniakan sifat kasih oleh pencipta-NYA. Namun berapa banyak sifat kasih yang ada dalam diri adalah berbeza sesama manusia. Hakikatnya, sifat kasih ini perlu disulam dan dipupuk setiap hari dan bukannya boleh terbina dengan sendiri.
Justeru, kita harus membina sifat kasih tersebut dan bukannya semata-mata menunggu untuk dikasihi. Lumrahnya, kita akan dikasihi jika tidak lokek untuk mengasihi orang lain.
Sebetulnya, terdapat kecenderungan yang berbeza dalam menyalurkan kasih sayang kepada setiap individu dan kelompok.
Ada yang membataskan kasih sayang mereka hanya kepada keluarga terdekat dan amat jarang untuk membuka dengan luas skop kasih sayang mereka kepada orang lain.
Namun ada juga yang berlaku sebaliknya, di mana lebih kasihkan orang lain berbanding dengan individu dan kelompok yang terdekat dengan mereka.
Fenomena kasihkan orang lain melebihi keluarga terdekat semakin ketara hari ini, sehinggakan banyak agensi telah memomokkan iklan balik raya bersama keluarga sebagai suatu keutamaan.
Seingat saya sewaktu bersekolah dahulu, apabila tiba hari raya hampir semua saudara-mara diperkenalkan oleh ibu bapa dengan cara kunjung-mengunjung ke rumah mereka.
Hubungan kami cukup mesra sekali, sehinggakan jalur keluarga daripada peringkat atas hingga ke peringkat bawah dengan mudah sekali diingati dan dikenali.
Pada hari ini, jalur keluarga peringkat sepupu pun sudah mula bertukar dan keliru. Kalau dahulu, setiap kali kunjungan dibuat rumah ke rumah, boleh dikatakan semua ahli keluarga keluar untuk bersalam dan menyambut tetamu yang datang.
Namun pada hari ini, suasana tersebut sudah hampir hilang kerana masing-masing telah beralih kasih kepada yang jauh menerusi rangkaian teknologi.
Secara jujurnya, pengaruh teknologi hari ini amat berjaya mendekatkan yang jauh. Jika dahulu amat payah untuk bertanya khabar, namun pada hari ini hanya mengambil masa beberapa detik sahaja sudah pun boleh menyampaikan maksud yang tersurat dan tersirat.
Pun begitu, semakin hari fungsi teknologi ini mula menjauhkan mereka yang dekat. Apa tidaknya, ramai ahli keluarga sekarang sudah jarang bercakap sesama sendiri kerana masing-masing menggunakan gajet untuk berhubung dengan orang lain.
Malah, ahli keluarga juga sentiasa sibuk meraikan kenalan mereka sehingga lupa untuk memperkukuhkan hubungan keluarga.
Ada ketikanya si ayah sibuk meraikan rakan-rakan di kedai kopi sehingga terabai keluarga di rumah. Malah bagi mereka yang sudah ada anak-anak yang membesar, mereka mula aktif keluar rumah untuk meraikan rakan-rakan mereka sehingga balik lewat malam.
Akhirnya kasih kepada yang jauh ini mula melunturkan kasih kepada yang dekat.
Bukan itu sahaja, semangat kejiranan juga semakin luntur kerana masing-masing mengutamakan hubungan dengan individu di luar kejiranan berbanding dengan mengutamakan jiran sendiri.
Justeru, tidak peliklah jika kenduri di rumah jiran sekarang hanya dipenuhi jemputan kenalan yang jauh berbanding dengan mengutamakan jiran mereka sendiri.
Berkaitan hal ini, ada ketikanya gulai serta pelbagai makanan tidak habis kerana tetamu yang jauh tidak ramai yang datang menyebabkan masjid telah dijadikan ‘lambakan’ untuk mengagihkan makanan yang tidak habis tadi.
Selain itu, terdapat juga situasi di mana ada ibu bapa yang lebih kasih kepada anak-anak yang jauh di perantauan berbanding dengan anak yang tinggal dekat dengan mereka.
Setiap kali perayaan tiba, mulalah anak-anak yang dekat dengan mereka mula berkecil hati kerana sudah ‘tidak dipandang lagi’ berbanding dengan kasih sayang ditunjukkan kepada anak-anak yang baru sampai dari perantauan.
Sekali fikir, apa salahnya untuk memanjakan anak yang jauh kerana lama tidak berjumpa? Namun hakikatnya, perbuatan tersebut tetap melukakan mereka yang dekat. Akhirnya, apabila perayaan tamat mereka yang dekat juga ditagihnya bantuan.
Apa pun alasan, pada hemat saya yang dekat patut didahulukan. Pun begitu bukanlah bermakna mengenepikan yang jauh adalah suatu keutamaan.
Semoga hari raya nanti, kehidupan kita akan lebih harmoni dengan memperkukuhkan yang jauh dan memperkasakan yang dekat.
Selamat Hari Raya Aildilfitri dan maaf zahir batin.
* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!