Aidilfitri tidak seperti dulu lagi
DIA orang kata keadaan ekonomi yang merudum, di tambah pula dengan perang dagang China – AS memberi kesan terhadap sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini.
Almaklumlah, tiada duit dan susutan RM – ramai yang dibuang kerja kerana bisnes tutup – dengan sendirinya mengurangkan kuasa beli di semua lapisan masyarakat.
Apabila kuasa beli kurang, semangat beraidilfitri turut suram. Sana-sini orang mengeluh. Sana-sini ada tangisan dan rintihan.
Pasti takbir Syawal tahun ini lebih mendayu – dan sayu – daripada tahun-tahun sebelumnya.
SEJAK awal puasa sudah nampak dan dapat dirasakan kesuraman di mana-mana. Peniaga di bazar Ramadan mengeluh jualan tidak serancak seperti biasanya.
Pengunjung ramai, tetapi juadah tidak menjadi rebutan. Ayam golek, ikan percik, nasi lemak hanya diperhatikan dan tergolek tidak bersentuh hingga waktu berbuka.
Orang ramai mengeluh sebab harga terlalu mahal. Baik ayam golek, ikan percik dan lain-lain juadah pilihan harganya jauh lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya.
Dalam keadaan orang tidak berduit, sedap macam mana pun makanan dan minuman, mereka tidak mampu beli, hanya mampu lihat sambil menelan liur.
Sebab itu seperti yang dilaporkan media, banyak makanan tidak terjual dan akhirnya dibuang begitu sahaja. Kelembapan ekonomi memang memberi kesan terhadap selera berbuka dan beraya.
ADAKAH kerana kelembaban ekonomi juga menyebabkan orang tidak lagi menghantar kad ucap selamat hari raya seperti tahun-tahun sebelumnya?
Setakat hari ini – tinggal beberapa hari hendak raya – saya sendiri menerima hanya tujuh keping kad raya. Dua daripada menteri, selebihnya daripada syarikat-syarikat korporat.
Biasanya sejak minggu kedua puasa kad raya sudah tiba di pejabat saya dan pembantu saya sibuk menghantar kad balasan bagi pihak saya.
Agaknya dalam keadaan merudum seperti sekarang, kad raya adalah yang terkebawah atau mungkin tidak ada langsung dalam senarai keperluan raya.
Lagi pun agaknya kad raya dalam sampul bersetem sudah tidak relevan dengan era siber masa kini yang serba-serbi canggih, semuanya di hujung jari.
Orang lebih senang mengutus ucapan raya menerusi media sosial. Tidak perlu setem, tidak perlu beratur di pejabat pos.
Tulis sahaja apa yang hendak diucapkan dan hantar sebanyak mungkin menerusi maya, semua percuma, pantas dan menarik.
Maka sehari dua sebelum raya, lebih-lebih lagi malam raya, jari-jemari lenguh sebab asyik membalas ucapan raya menerusi maya.
MAKA teringat saya zaman dulu-dulu kad raya digantung sebahagian hiasan sepanjang raya. Pintu, tingkap, almari, cermin hatta di luar bilik mandi ada digantung kad raya.
Semakin banyak kad raya diterima – dan ditayangkan – semakin hebat kita, lebih-lebih lagi jika ada antara kad tersebut diterima daripada orang penting seperti YB wakil rakyat, artis dan sebagainya.
Waktu itu jika kita menghantar kad raya, kita berharap sangat kad kita akan dibalas. Sebab itu selalu ada pantun pada kad yang dihantar ‘pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas!’ Kalau tidak balas boleh putus kawan.
Hari ini menerusi media sosial, kita menerima macam-macam ucapan selamat hari raya, termasuk daripada pengirim yang kita tidak pernah kenal pun. Sebab itu ucapan raya sekarang tidak terasa syahdunya! AKHIR kalam, tidak kira ke mana pun destinasi untuk beraya, pastikan kenderaan anda telah diperiksa dan berada dalam keadaan baik.
Tidak kira berkenderaan mewah, pacuan empat roda, kereta kecil, kereta besar, lebih-lebih lagi motosikal, sentiasalah berhemah ketika di jalan raya.
Pandulah dengan cermat, patuhi semua peraturan keselamatan jalan raya. Jangan terkejar-kejar ketika memandu, nanti anda dikejarkan ke hospital.
Betapa pun hendak cepat sampai, selalulah ingat wajah-wajah orang tersayang. Biar lambat di jalan raya asalkan selamat sampai dan dapat bertakbir raya bersama orang tersayang.
Selamat Hari Raya. Maaf zahir dan batin.
TOK PERAK
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!