Apabila taasub

A
A
A

PAK Salim menarik-narik daun halus. Apabila dilihatnya tidak sesuai, dicampakkan daun itu dan memilih yang lain pula. Daun yang elok dipilih untuk dimasukkan tembakau.

Setelah menarik-narik tembakau itu, dia kemudian menyusun tembakau itu pula di atas daun yang dipilih. Digulungnya rapat-rapat dengan penuh kemahiran, dicucuh dan disedut perlahan dengan penuh nikmat.

Sejak harga rokok mahal, Pak Salim tidak lagi menghisap rokok ‘sigaret’. Rokok daunlah yang menjadi pilihan. Namun memilih tembakau pun perlu juga ada kemahiran supaya dapat merasa nikmat tembakau segar.

Asap dihembus ke atas, sesekali dipandangnya pula Imam Halim yang sedang cuba membalut rokok daun juga. Pak Salim hanya tersenyum sahaja memandang Imam Halim yang mungkin baru mencuba membalut rokok daun itu.

Setiap kali selepas solat tarawih lapan rakaat, mereka akan berkumpul di dewan makan terbuka di sebelah masjid. Dewan itu pula memang digunakan untuk berbuka dan moreh juga.

Kebiasaannya ramai jemaah pencen yang tegar lapan rakaat akan melepak di situ sebelum pulang.

Jika ada rezeki lebih selepas berbuka, bolehlah mereka menikmatinya sekali lagi. Jika tidak ada, air sahaja yang menjadi teman berbual selain rokok daun. Kebetulan malam itu ada pula tazkirah daripada Dr Ustaz Olala pula.

“Rupanya hadis yang kata nabi pernah beri makan perempuan Yahudi buta tepi jalan itu palsu ya?’’ tanya Pak Salim untuk kepastian sekali lagi.

Artikel Berkaitan:

“Itulah. Aku pun terkejut juga. Dah Dr Ustaz Olala dah cakap palsu, palsulah kot,” jawab Imam Halim pula.

“Tapi ada juga ustaz yang guna hadis ni dalam ceramah depa,” kata Pak Salim sambil meneguk kopi O panas.

“Ah, aku pun keliru sekarang yang mana satu palsu dan bukan palsu. Baru satu hadis. Hadis lain lagi? Mungkin banyak lagi kot?” Pak Din menyampuk pula sambil menghembus asap dengan penuh nikmat.

“Sedap tembakau ni. Kau beli di mana? “Pak Din bertanya lagi.

“Di pasar Guar tu lah. Dia biasa ada di simpang jalan sebelum kau masuk kedai pajak gadai. Depan food court tu," jawab Pak Salim.

“Tapi Dr Ustaz Olala ada cakap juga, kalau fikir akal pun kita boleh tahu hadis tu palsu. Masa suap nasi ke mulut Yahudi tu, tak kan nabi senyap sahaja. Sifat nabi yang tabligh mesti akan menyampaikan ajarannya supaya Yahudi itu bersyahadah,” Imam Halim menyambung perbualan semula, berkhutbah.

“Entahlah aku keliru juga. Sebelum ni kita dok dengar banyak juga tentang hadis ni. Alih-alih palsu pula," kata Pak Din pula sambil meneguk lagi baki kopi sebelum menuang tambah.

“Tadi ada satu lagi hadis palsu yang Dr Ustaz Olala cakap tu tadi apa ya?" tanya Imam Halim pula.

“Oh tu hadis yang tentang syurga. Apa tu, hmm... haa, syurga di bawah tapak kaki ibu,” jawab Pak Salim.

‘’Itupun palsu juga ya?” tanya Pak Din ingin kepastian.

“Palsulah kot dah Dr Ustaz Olala kata palsu,” jawab Pak Salim.

“Pulak,” kata Pak Din lagi.

“Tapi kata Dr Ustaz Olala lagi, ada juga hadis lain yang secara makna menjelaskan ungkapan syurga di bawah tapak kaki ibu itu adalah benar. Maka itu, ungkapan tersebut tidak dapat kita katakan salah secara mutlak lantaran adanya hadis Hasan yang memperkuatnya,” kata Pak Salim lagi.

Kelihatan Imam Halim mengangguk-angguk dan sesekali memicit dahinya. Mungkin terlampau banyak minum kopi O. Sedutan rokok daun juga menyebabkan kepalanya pening juga. Kemudian Imam Halim berkata pula,"

“Mungkin kita boleh ambil yang baik sahaja jika ada, sebagai tauladan yang baik untuk diamalkan sahaja. Cuma jika palsu tak boleh kata daripada nabi sahaja dan tinggalkan sahaja.”

“Masalahnya kita orang awam tak tahu yang mana palsu, yang mana betul. Bukan orang awam sahaja, kalau ustaz-ustaz, tok guru, ulama dan bijak pandai agama pun masih ada yang guna hadis palsu, kita? Lagilah tak tahu!" Pak Din menjerit pula.

Tiba-tiba masing-masing terdiam. Hanya terdengar helaan nafas sahaja, seperti kata orang-orang tua dahulu kala, ‘malaikat sedang lalu.’ Dan Pak Salim pula menyambung menghembus asap rokok daun berkepul-kepul sambil sesekali dibuatnya corak bulat pula.

Imam Halim pula masih cuba membalut rokok daun yang entah yang ke berapa batang.

Sementara Pak Din pula membelek-belek sebuah buku yang sangat kontroversi dan telah pun diharamkan.Aku pun keliru sekarang yang mana satu palsu dan bukan palsu."

* Faizal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!