Elektrik, cuai memasak punca kebakaran meningkat musim perayaan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Hampir 60 peratus kebakaran kediaman yang berlaku pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara berpunca daripada elektrik, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Amer Yusof.

Rekod jabatan itu menunjukkan kebakaran kediaman akibat elektrik dalam tempoh tersebut pada 2016 berjumlah 293 kes (56.7 peratus), 253 kes (54.8 peratus) pada 2017 dan meningkat kepada 365 kes (58.5 peratus) pada 2018, katanya.

Menurutnya, antara faktor yang dikenal pasti adalah penggunaan tenaga elektrik berlebihan akibat penyambungan terlalu banyak alat pada satu soket, wayar rosak atau terpintal dan kecuaian mengendalikan perkakasan elektrik seperti seterika.

"Sentiasa peka terhadap barangan elektrik yang digunakan seperti peralatan yang berbau, berasap atau terlampau panas.

"Letakkan alat pemanas seperti seterika pada jarak satu meter daripada sebarang benda mudah terbakar sebab kadang-kadang kita lupa tutup dan apabila ia terlalu panas boleh menyebabkan kebakaran," katanya kepada Bernama.

Amer turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya mencabut semua plug perkakasan elektrik daripada soket sebelum meninggalkan rumah bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku semasa ketiadaan mereka.

"Ada yang anggap cukup sekadar menutup suis tetapi kadang-kadang walaupun suis itu tidak tutup sepenuhnya dan arus elektrik masih mengalir dan ada juga soket yang telah rosak menyebabkan litar pintas.

"Sebelum balik kampung beritahu jiran-jiran untuk tengok-tengokkan rumah supaya kalau berlaku kebakaran atau perkara tidak diingini, mereka boleh hubungi pihak bomba dengan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain elektrik, Amer berkata hampir 20 peratus kebakaran musim perayaan berlaku akibat peralatan gas kerana kecuaian semasa memasak dengan 116 kes (18.6 peratus) direkodkan pada tahun lepas.

"Bila masak pada bulan puasa kita mudah letih, jadi ada yang meninggalkan dapur terlalu lama sampai terlupa. Jadi semasa masak hendaklah memberi tumpuan sepenuhnya," katanya.

Amer berkata faktor kebakaran lain pada musim perayaan termasuk penggunaan pelita atau lilin, bunga api atau mercun dan bara api tidak dipadamkan sepenuhnya.

Justeru, beliau menggalakkan supaya setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya satu alat pemadam kebakaran yang boleh didapati dengan harga antara RM120 hingga RM130 bagi seunit 9kg.

"Dari segi peraturan memang tidak diwajibkan, tetapi ia merupakan satu alat yang sangat berkesan untuk padam kebakaran. Bagaimanapun, kesedaran dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah," katanya.

Dalam pada itu, Amer berkata Op Raya JBPM bagi Aidilfitri kali ini dari 29 Mei hingga 12 Jun turut menyelitkan kempen kesedaran kepada orang ramai di beberapa hentian rehat dan rawat (RnR) di seluruh negara.

"Pada tahun ini, pasukan bersedia di lebuh raya diminta bekerjasama dengan penyedia makanan di RnR untuk menyediakan satu tempat pameran dan membuat demonstrasi memadam kebakaran di dapur kepada para pengunjung," katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!