Rohingya: Membina kehidupan baharu di Malaysia

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegaranya, ratusan ribu etnik itu terpaksa melarikan diri dan ada di antaranya telah pun memulakan kehidupan baharu di Malaysia.

Seorang daripadanya ialah Hashim Kassim, 49, yang sudah lebih 20 tahun menetap di Selayang dan kini merupakan pengetua di Madrasah Hashimiah, sekolah yang diasaskannya khas untuk warga Rohingya. Malaysia menjadi pilihan tempatnya berteduh kerana kebebasan untuk menganut agama Islam.

"Saya tidak boleh tinggal di Myanmar disebabkan agama, apabila saya berpindah di Thailand pun ada masalah yang sama tetapi di Malaysia nak menganut agama Islam langsung tidak ada masalah. Itu yang saya suka. Di sini orang Malaysia saling menghormati dan tolong-menolong antara satu sama lain.

"Ada juga saya dapat tawaran daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berpindah ke luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia atau Sweden tetapi saya tidak mahu sebab kehidupan lebih selesa di negara Islam seperti Malaysia," katanya. Hashim menjelaskan, Madrasah Hashimiah ditubuhkan supaya anak-anak pelarian Rohingya tidak tercicir daripada pendidikan asas.

"Sebab apabila mereka sudah besar, mereka tidak layak ataupun mampu untuk melanjutkan pengajian di mana-mana universiti dan satu-satunya cara untuk teruskan hidup adalah mencari pekerjaan.

"Ada juga yang dapat pergi ke luar negara, ada juga yang bekerja sebagai ustaz dan ustazah di madrasah ini," katanya.

Madrasah itu mengajar murid berusia seawal empat tahun hinggalah 17 tahun dalam pendidikan agama, bahasa Myanmar, bahasa Malaysia serta kelas akademik seperti matematik.

Demi membela nasib 220 murid Rohingya, Hashim bertungkus lumus mencari dana dan sumbangan tambahan malah memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual bubur kacang dan kurma pada bulan Ramadan. "Hasil perniagaan itu akan digunakan untuk sahur, iftar serta kelengkapan pakaian raya bagi membantu anak-anak Rohingya yang kebanyakannya miskin, anak yatim malah membantu menyara guru-guru yang mengajar di madrasah ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun tidak cukup tidur dan makan, dapat mengajar pendidikan agama, solat dan membaca al-Quran sangat memuaskan hati dan besar pahalanya. Saya harap dapat meneruskan kerja amal di sini sampai bila-bila," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian secara dalam talian di akaun CIMB Bank 8600202864, atau akaun Maybank 562151419729 atau akaun Bank Islam 14069010033413 di bawah nama Madrasah Hashimiah. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!