JKM Kedah selamatkan 400 kanak-kanak terabai
ALOR SETAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah melindungi kira-kira 400 kanak-kanak di negeri ini pada setiap tahun selepas dikesan diabaikan oleh ibu bapa atau penjaga mereka termasuk didera ataupun terlibat dengan kegiatan jenayah.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, perkembangan tersebut sedikit membimbangkan pihaknya dan meminta masyarakat setempat turut peka untuk membantu mengatasi masalah berkenaan.
Menurutnya, beliau dan JKM Kedah mengesan masalah tersebut apabila setiap kali turun padang dan apabila siasatan dilakukan dengan lebih mendalam didapati ada berlakunya kes penderaan.
"Baru-baru ini, saya baru sahaja melawat Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar mendapati ada dua tiga kes penderaan dan perkembangan ini agak serius.
"Mana-mana ibu bapa didapati ada masalah seperti terlibat dengan kes dadah atau sebagainya, JKM boleh mengambil hak penjagaan ke atas anak-anak tersebut berdasarkan Akta Kanak-Kanak,"katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar dan sumbangan kepada 207 anak-anak yatim dan OKU bersama pelajar tahfiz di Dewan Seri Mentaloon, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kematian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai didera bapa tirinya di Guar Chempedak Yan Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar berkata, bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan daya tumpul di bahagian abdomen, terdapat koyakkan pada hati mangsa, pendarahan pada organ dan kesan lebam pada usus.
Hasil ujian air kencing bapa tiri dan ibu kandung mangsa berumur 28 dan 23 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Tambah Halimaton Shaadiah, ibu bapa juga boleh hilang hak penjagaan sekiranya gagal menyediakan tempat tinggal yang baik dan selamat untuk anak-anak mereka.
"Bagaimanapun sekiranya ada waris sama ada nenek atau keluarga terdekat yang mampu menjaga anak-anak ini, maka kita akan serahkan kepada keluarga ini terlebih dahulu,”katanya.
Menurutnya, JKM juga terpaksa mengambil tindakan apabila terdapat kes kanak-kanak tidur tepi jalan atau kaki lima kerana ibu bapa gagal menyediakan kediaman yang mengasingkan bilik-bilik untuk anak lelaki dan perempuan sehingga berlakunya sumbang mahram.
"Terdapat juga kes di mana anak-anak termasuk anak-anak oku yang ditinggalkan di rumah apabila ibu bapa pergi bekerja dan mereka boleh diletakkan di bawah jagaan JKM asalkan mereka berusia 18 tahun ke bawah," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!