KPDNHEP Gerik periksa lebih 3,000 premis
GERIK - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Gerik menjalankan pemeriksaan ke atas 3,092 premis di sekitar daerah itu sejak Januari hingga Mei tahun ini.
Ketua Cawangannya, Izani Abdul Latif berkata, hasil pemeriksaan itu, sebanyak 41 kes melibatkan pelbagai kesalahan direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, antara kesalahan tersebut termasuklah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Semalam, kita telah buat satu pemeriksaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) musim perayaan Aidilfitri telah dijalankan di Pasar Awam Gerik melibatkan 9 anggota penguatkuasa KPDNHEP Gerik.
"Pemeriksaan mendapati para peniaga mematuhi harga maksimum bagi 27 jenis barangan yang disenaraikan sepanjang SHMMP," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Izani berkata, bagaimanapun sepanjang skim harga maksimum musim perayaan dijalankan bermula 21 Mei lalu, sebanyak 3 kes telah diambil kerana gagal meletakkan tanda harga merah jambu.
Katanya, SHMMP yang akan berakhir pada 19 Jun depan menetapkan sebanyak 27 jenis barang kawalan perlu dijual pada harga yang maksimum yang ditetapkan.
Beliau berkata, pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan atau maklumat kepada KPDNHEP Gerik melalui pelbagai medium yang disediakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!