Anggota polis maut dirempuh ketika bertugas
JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis meninggal dunia manakala rakan setugasnya cedera parah akibat dirempuh sebuah motosikal ketika sedang bertugas di Jalan Persisiran Perling (arah Iskandar Puteri) di sini pagi tadi.
Anggota yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Mohd Ishraf Ismail, 27 manakala rakannya yang cedera Muhammad Syakir Safwan Khairudin, 29.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 6.40 pagi itu, kedua-dua anggota yang berpangkat lans korporal berkenaan sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah van di bahu jalan sebelah kiri di tempat kejadian.
"Ketika sedang melakukan pemeriksaan itu, secara tiba-tiba seorang penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah Perling menuju ke Plaza Tol Perling telah melanggar kedua-dua anggota ini.
"Akibat pelanggaran itu mangsa yang merupakan pemandu kereta peronda polis telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakan setugas dan penunggang motosikal itu parah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Taib berkata, mangsa yang meninggal dunia dan parah kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah dengan menggunakan ambulans.
Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian untuk mengetahui keadaan ketika berlakunya kemalangan tersebut.
"Siasatan sedang dibuat manakala kenderaan terlibat telah dibawa pulang ke Balai Trafik JBU dan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!