'Sekarang ni nak dapat RM30 pun susah'

Himpunan yang diadakan ini dihadiri ratusan pemandu teksi dari seluruh Pulau Pinang.
Himpunan yang diadakan ini dihadiri ratusan pemandu teksi dari seluruh Pulau Pinang.
A
A
A

BUTTERWORTH - "Pendapatan kami sekarang ini memang amat berkurangan", itu antara luahan pemandu-pemandu teksi yang mengadakan himpunan aman di Padang Haji Ahmad Badawi, Bagan di sini, hari ini.

Himpunan yang dikenali sebagai Perhimpunan Aman Reformasi Teksi itu diadakan hampir setengah jam dan dihadiri oleh 100 pemandu teksi dari seluruh Pulau Pinang.

Pemandu teksi, C.Supramaniam, 60, berkata himpunan aman ini dianjurkan bagi menzahirkan keluhan ribuan pemandu teksi di negeri ini.

"Jujur saya katakan kehidupan kami kini amat dihimpit dengan kesusahan. Kalau dulu nak dapat RM80 hingga RM90 sehari memang bolehlah, keluar dalam beberapa jam memang boleh dapat.

"Tapi sekarang nak dapat RM30 pun susah, kadang tu nak tunggu sampai berjam-jam baru ada penumpang, memang tak cukup," katanya.

Katanya, perkara ini amat merungsingkan sebilangan besar pemandu teksi kerana mereka mempunyai keluarga untuk disara.

"Masing-masing ada keluarga di rumah yang perlu disara, perlu diberi makan, kalau pendapatan kami tak seberapa, bagaimana nak tampung perbelanjaan seharian.

"Tambahan pula ada pemandu teksi yang menyewa rumah, dapat tak seberapa. Ada tu sampai berbulan tak dapat bayar sewa rumah, memang keadaan kami amat susah dalam dua menjak ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

C.Supramaniam yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Teksi Penang Sentral berkata, antara lainnya perhimpunan ini diadakan ini adalah untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai lesen pengendali kelas e-hailing diserahkan kepada syarikat e-hailing.

Pemandu teksi meminta kerajaan mendengar segala keluhan mereka.
Pemandu teksi meminta kerajaan mendengar segala keluhan mereka.

"Bagi kami tindakan ini bukan sahaja menafikan hak kebebasan pemandu, malahan akan mengekalkan sistem penghambaan moden di dalam industri teksi negara seperti yang berlaku terhadap pemandu teksi/kereta sewa dan teksi lapangan terbang melalui lesen pengendali teksi (permit teksi).

"Lesen pengendali e-hailing yang dikeluarkan hendaklah diserahkan hanya kepada pemandu-pemandu kereta sapu e-hailing yang mempunyai kelayakan sahaja," katanya.

Pemandu teksi, Abang Daud Abang Julaihi, 35, berkata pihaknya menuntut kerajaan supaya mengadakan perbincangan rasmi bagi memperhalusi semua peraturan berkaitan e-hailing.

"Ia sekali gus bagi memastikan semuanya berjalan dengan adil, sekali gus ia akan mengakhiri pertikaian pemandu teksi dan mewujudkan kesamarataan yang benar saksama di antara pemandu teksi dan pemandu e-hailing tanpa kompromi akan aspek keselamatan.

"Masa sama kami juga tidak bersetuju proses mendapatkan lesen PSV dipermudahkan dan diserahkan kepada syarikat atau lain-lain agensi selain daripada diberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ)," katanya.

Difahamkan himpunan ini turut berlangsung di seluruh negara dan bertemakan baju kuning oleh para pemandu teksi ini.

Satu memorandum berkaitan permintaan mereka kemudiannya diserahkan kepada wakil Adun Bagan Dalam selepas himpunan diadakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!