Hindar Islamofobia dengan fahaman agama sempit, kata Mujahid

Mujahid (kiri) berbual mesra dengan Pengasas Pusat Pengajian Tahfiz Al-Hidayah, Yunus Alias(kanan) sewaktu mengadakan lawatan ke pusat tahfiz itu di Simpang Lima, Parit Buntar hari ini.
Mujahid (kiri) berbual mesra dengan Pengasas Pusat Pengajian Tahfiz Al-Hidayah, Yunus Alias(kanan) sewaktu mengadakan lawatan ke pusat tahfiz itu di Simpang Lima, Parit Buntar hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Masyarakat Islam di negara ini dinasihatkan tidak terlalu fobia dengan sebarang usaha penganjuran program kebajikan di rumah ibadat agama lain sehingga boleh menjejaskan semangat keharmonian antara kaum dan agama dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, berhubung isu penganjuran majlis berbuka puasa di Kuil Gurdwara Sikh, Johor Bahru oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir baru-baru ini, pihak meneliti penjelasan diberikan pemimpin PKR itu dan menyifatkan program itu tidak menyimpang daripada landasan Islam.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin masyarakat, adalah tidak salah Akmal menganjurkan majlis sebegitu atas usaha mempromosi semangat keharmonian antara kaum dan agama.

"Dalam penjelasan YB Akmal, bukan beliau sahaja yang berbuka puasa dengan pengurusan kuil, tetapi majlis berbuka puasa turut disertai ramai masyarakat Islam Parlimen Johor Bahru.

"Selain itu, beliau turut menjelaskan program itu diadakan di kawasan dewan kuil bukan tempat mereka beribadat, bahkan Akmal sendiri turut menekankan beliau menunaikan solat maghrib dan tarawih di masjid bukan di kuil itu.

"Jadi saya tidak nampak sebab isu pemahaman agama sempit ini perlu diperbesar dan disensasikan segelintir pihak bagi mendapatkan laba politik," katanya kepada media pada majlis lawatan ke Pusat Pengajian Tahfiz Al-Hidayah, Simpang Lima di sini hari ini.

Mujahid berkata, sikap pemahaman agama sempit sebegini dibimbangi akan menyemarakkan lagi senario 'Islamofobia' dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, tiada isu yang boleh dijadikan alasan orang bukan Islam untuk mengunjungi masjid atau umat Islam tidak boleh mengeratkan hubungan keharmonian dengan penganut agama lain di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Tiada masalah bagi seseorang pemimpin menganjurkan program kebajikan di rumah ibadat agama lain selagi kita menghormati agama mereka dan mereka turut hormat dengan agama kita.

"Cuma perkara dilarang adalah kita tidak boleh datang ke rumah ibadat agama lain semata-mata untuk menghina fahaman agama penganutnya," katanya.

Sementara itu, Mujahid turut menyasarkan kesemua projek pembangunan sekolah tahfiz dan pondok agama yang sudah disalurkan peruntukan oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini akan diselesaikan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Menurutnya, sebahagian besar peruntukan RM75 juta melibatkan pembangunan sekolah tahfiz dan pondok agama sudah disalurkan mengikut keperluan negeri masing-masing.

"Kesemua permohonan dibuat adalah membabitkan pembangunan infrastruktur yang berkaitan dengan aspek keselamatan, kebajikam dan kebersihan sekolah tahfiz dan pondok agama yang berdaftar di seluruh negara.

"Saya menyasarkan semua projek yang menerima peruntukan kerajaan pusat mesti dimulakan seawal bulan Julai tahun ini dan diselesaikan awal tahun hadapan.

"Bagi mana-mana sekolah tahfiz dan pondok agama yang masih belum menghantar kertas cadangan pembangunan projek, mereka diingatkan untuk segera menghantarnya selewat-lewatnya sebelum bulan Oktober tahun ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu iftar di kuil: Saya sudah buat rujukan, kata Akmal

ARTIKEL BERKAITAN: Isu berbuka puasa, AJK kuil tidak dimaklumkan: Manjit Singh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!