Orang ramai kutip baju PLKN dibuang
KUNDANG - Longgokan uniform pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dibuang di tanah lapang di Tasik Biru Kundang di sini menarik perhatian orang ramai sejak beberapa hari lalu.
Difahamkan, baju tersebut dibuang di tanah yang sedang ditambak sejak Rabu lalu, sebelum dialihkan ke bahagian depan laluan masuk untuk membolehkan baju, seluar dan kasut itu diambil orang awam.
Menurut pekerja tapak itu yang mahu dikenali sebagai Sathia, timbunan baju masih dalam plastik itu dibuang pihak tidak dikenali dipercayai pada waktu malam sebelum disedari pada hari berikutnya.
"Waktu pagi sampai ke lokasi saya nampak banyak baju masih baharu dalam plastik dibuang, kerana keadaannya masih elok, saya pindahkannya ke depan supaya orang awam dan orang kampung boleh ambil.
"Disebabkan ramai yang datang serbu dan keadaan hujan beberapa hari ini keadaanya jadi tidak terurus dan kotor," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Orang awam yang ditemui, Afendi Ghazali, 40-an berkata, dia ke kawasan itu selepas melihat orang ramai memilih baju dilonggokan pakaian itu.
"Kebetulan saya lalu tadi nampak ada timbunan baju. Niat hati nak ambil juga tapi tak jadi sebab dah kotor. Banyak baju baik, sayang membazir patut letak di tempat yang lebih sesuai, mudah untuk orang pilih," katanya.
Penduduk, Muhd Taufik Md Yusof Satar, 19, berkata, dia ke kawasan itu sebaik dimaklumkan rakannya untuk mengambil baju yang masih elok untuk dipakai semasa kerja.
"Macam seluar ini masih elok dan tebal, sesuai untuk pakai ke tempat kerja tapi tak ada saiz pula.
"Baju saya ambil untuk simpan sebab kualitinya baik. Kasut pun masih baharu tapi sudah rosak sebab disimpan terlalu lama.
"Minggu lepas dah ambil baju juga, cuma bila kawan maklumkan ada lagi baju baharu yang dibuang saya datang lagi untuk ambil yang mana sesuai," katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk memansuhkan PLKN dan Biro Tatanegara sejak Ogos tahun lepas.
PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh pentadbiran terdahulu (BN) bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.
BTN adalah unit di bawah JPM yang ditubuhkan pada 1981 untuk memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!