Mohamad Sabu hadir Dialog Shangri-La di Singapura
SINGAPURA - Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-18, Dialog Shangri-La (SLD) selama tiga hari bermula semalam di Hotel Shangri-La, Singapura.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pertahanan berkata pada persidangan berkenaan, Menteri Pertahanan Malaysia itu turut menyampaikan ucapan bertajuk ‘Asia’s Evolving Security Order and its Challenges’ semasa sesi plenari.
Beliau berkongsi pentas bersama-sama Menteri Pertahanan Perancis dan United Kingdom.
Persidangan ini merupakan program tahunan bertaraf antarabangsa yang melibatkan tokoh-tokoh penting dalam kalangan kerajaan dan bukan kerajaan di rantau Asia Pasifik dan di luar rantau yang membincangkan isu-isu keselamatan semasa dan akan datang.
Pada persidangan ini juga, Mohamad akan turut mengadakan pertemuan dua hala dan pelbagai hala sesama rakan sejawatan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan polisi pertahanan dan juga perkara-perkara berkaitan cabaran dalam mengekalkan keselamatan serantau di samping menubuhkan jaringan hubungan dan kerjasama pertahanan antara negara terlibat.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen mengadakan pertemuan hari ini dengan Mohamad, serta Menteri Pertahanan Australia Linda Reynolds, Menteri Pertahanan New Zealand Ron Mark dan Setiausaha Pertahanan United Kingdom Penny Mordaunt di luar acara SLD.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Singapura berkata semasa pertemuan itu, menteri-menteri berkenaan mengesahkan komitmen negara masing-masing terhadap Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan kepentingannya sebagai perjanjian yang konstruktif, telus dan aman di rantau ini.
Menteri berkenaan juga melakukan banyak kerja bagi memastikan FPDA kekal relevan sempena ulang tahun ke-50 FPDA pada 2021 termasuk dalam bidang seperti menentang keganasan, keselamatan maritim dan bantuan kemanusiaan dan bencana.
Menteri itu menyatakan bahawa kemajuan signifikan telah dibuat dalam meningkatkan antara operasi dalam kalangan anggota tentera negara-negara menerusi eksesais FPDA seperti Eksesais Bersama Shield dan Eksesais Bersama Lima serta menyatakan sokongan terhadap usaha untuk terus meningkatkan nilai profesional dalam eksesais FPDA, kata kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!