Video pekerja restoran Wendy's mandi di sinki tular
FLORIDA - Sebuah video seorang pekerja rangkaian makanan segera Wendy's di bandar Milton, Florida mandi di sinki dapur restoran terbabit menjadi tular di laman sosial baru-baru ini.
Dengan kapysen, 'Saya tidak mencadangkan sesiapa untuk makan di restoran Wendy's di Milton lagi', video yang dikongsi oleh Haley Leach di laman Facebook itu menunjukkan seorang pekerja lelaki menanggalkan pakaiannya sebelum masuk ke dalam sebuah sinki dapur bersaiz besar.
Dalam klip video berdurasi 53 saat itu turut kedengaran beberapa pekerja lain bersorak sambil merakam aksi rakan mereka mandi di dalam sinki tersebut.
Difahamkan, sejak dimuat naik klip video tersebut ditonton lebih satu juta kali dan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Ekoran insiden tersebut, wakil restoran makanan segera berkenaan menyatakan pekerja yang terlibat dalam 'gurauan' tersebut tidak lagi bekerja dengan mereka.
Sementara itu, pengarah pemasaran syarikat yang memiliki rangkaian makanan segera terbabit, Mike Johnson berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan memperketatkan prosedur untuk pasukan restoran bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berlaku lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!