Pekan Rabu semakin meriah, ceria
ALOR SETAR - Kompleks Pekan Rabu Baharu yang kembali beroperasi pada April tahun lalu terus jadi pilihan malah dilihat semakin meriah dan ceria dengan pertambahan pengunjung pada tahun ini.
Mercu tanda negeri Kedah ini berjaya menukar landskap Bandaraya Alor Setar dengan lebih kemas, teratur dan menarik.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau sempat bertanya dengan beberapa peniaga di pekan tersebut dan mereka mengakui sambutan yang ditunjukkan pada tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu.
Menurutnya, perkara tersebut adalah satu perkembangan yang baik kerana secara tidak langsung dapat membantu peniaga-peniaga yang berniaga di situ.
"Ini menunjukkan bahawa daya beli rakyat kita juga semakin meningkat dan mereka boleh berbelanja sebelum perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi.
"Dari segi harga juga para peniaga dapat menyesuaikan harga pada kadar yang boleh dibeli oleh pengunjung.
"Jika jual mahal pun tidak ada siapa yang mampu beli. Peniaga dilihat cekap untuk menyesuaikan harga-harga tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas beliau bersama isterinya, Datin Seri Norzieta Zakaria mengadakan 'walkabout' kira-kira dua jam pada tengahari hari ini.
Kompleks baharu empat tingkat itu dibina di tapak asalnya siap sepenuhnya Januari 2018 membabitkan kos sebanyak RM55.57 juta selepas kerja-kerja pembinaannya bermula pada tahun 2014.
Tambah Mukhriz, Pekan Rabu adalah singgahan wajib bagi sesiapa yang berkunjung ke Alor Setar termasuk anak-anak Kedah yang bekerja di perantauan.
"Anak-anak Kedah yang berada di perantauan juga apabila pulang ke sini tidak ketinggalan untuk datang ke Pekan Rabu untuk membeli pakaian, makanan dan sebagainya.
"Malah ada juga pelawat-pelawat yang datang ke Kedah juga menjadikan Pekan Rabu antara destinasi yang akan disinggah sekali gus menjadikan suasana tempat ini semakin meriah dan ceria," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!