Syafiq Kyle balik Pilah
LEBIH kurang tiga hari lagi, umat Islam di seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Malah bermula hari ini, sudah ramai yang berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Begitu juga kisahnya dengan pelakon popular, Syafiq Kyle. Bagaimanapun ujar Syafiq, dia bersama keluarga akan pulang ke kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dua hari sebelum lebaran dan akan berada di sana sehingga hari raya kedua.
Katanya, hari raya sememangnya saat yang dinantikan saban tahun kerana pada waktu ketika ini dia dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga dan merapatkan hubungan.
“Saya memang nantikan saat-saat dapat meluangkan masa bersama keluarga kerana kalau hari biasa, saya jarang dapat berbuat demikian.
“Lebih istimewa bila musim perayaan macam-macam makanan yang jarang dapat dirasa akan dimasak oleh mak cik saudara.
“Lagi-lagi orang Negeri Sembilan, mereka bukan setakat lemang dan rendang sahaja tapi bermacam menu istimewa.
“Cuma raya kali ini saya kena kawal pemakanan kerana sudah ada dua projek yang menanti untuk memulakan penggambaran selepas raya.
“Jadi saya kena pastikan berat badan tidak naik mendadak. Cuma bila lihat makan yang sedap-sedap terhidang rasa susah pula nak tolak,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengimbau kenangannya berhari raya di Kuala Pilah sebelum menjadi artis terkenal, Syafiq berkata dia lebih menyukai suasana malam raya dan pagi raya di kampung.
Walaupun di kampung tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan namun kemeriahan itu lebih dapat dirasai.
“Kalau di bandar masing-masing dengan aktiviti rumah mereka. Paling tidak pun lepas solat raya pergi tengok wayang.
“Tapi bila di kampung seronok sebab lepas mak cik selesai masak juadah, saya bersama sepupu akan pergi hantar ke rumah saudara terdekat.
“Mak cik itu pula akan balas juadah. Lepas itu pergi main bunga api dan mercun bersama kawan-kawan dan sepupu,” imbaunya.
Ditanya pernahkah terlibat dengan aktiviti nakal semasa bermain mercun, selebriti berusia 27 tahun ini tidak menafikannya.
“Pernahlah kami perangkap ibu ayam bersama enam ekor anaknya di dalam satu lubang di lereng bukit. Lubang itu kecil sahaja luarannya dan boleh ditutup dengan tempurung kelapa.
“Tapi dalam lubang itu agak luas juga. Lepas semua dah masuk kami baling mercun naga dan menyebabkan ibu ayam bersama anak-anaknya melompat-lompat cuba keluar.
“Memang riuh suasana ketika itu dan apa yang membuatkan kami sakit perut ketawa adalah ketika mereka keluar dalam keadaan berbaris, anak ayam yang terakhir sekali ekornya terbakar.
“Tapi tidak ada anak ayam yang mati cuma mereka mungkin terkejut sahaja. Apa pun, jangan ikut tindakan saya sebab memang jelas ia salah,” ceritanya.
Menyentuh mengenai kerjaya seninya, Naib Juara Hero Remaja 2011/2012 memberitahu, dia sebolehnya mengelak untuk membawa watak sama berulang-ulang biarpun drama atau karakter itu memberi impak positif kepada penonton seperti watak Ustaz Adam dalam drama Nur dan Nur 2.
Katanya, dia tidak mahu terikat dengan watak sama sehingga tidak mendapat kesempatan mencuba watak yang berbeza.
“Saya rasa drama Nur dan Nur 2 meninggalkan impak yang cukup baik dan boleh diteruskan oleh pengarah lain pada masa akan datang.
“Pada pandangan saya, sudah tiba masanya penerbit atau pengarah beralih pada konsep cerita yang mendatangkan kesedaran kepada masyarakat dan bukannya meninggalkan rating yang tinggi semata-mata.
“Cuma kalau boleh saya tidak mahu terus tampil dengan watak Ustaz Adam pada masa akan datang kerana tidak mahu terikat dengan watak saya.
“Tapi andai ada keperluan, sama-sama setuju, ikhlas untuk buat sambungan Nur, saya sedia mempertimbangkan,” jelasnya.
Tambahnya setakat ini, dia tidak terlalu memikirkan apa watak lain yang ingin dibawakan kerana dia mengutamakan plot sesebuah cerita berbanding watak.
“Watak itu agak sukar untuk saya kejar tapi kalau ada tawaran datang, saya akan pertimbangkan jalan cerita. Kalau cerita menarik, saya mesti akan terima,” akhirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!