Tun M berseloroh, ada terowong dari rumah ke KLIA
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama para Menteri Kabinet hari ini meluangkan masa menaiki cruise mengelilingi Tasik Putrajaya dalam satu majlis makan tengah hari di sini.
Barisan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan itu meluangkan masa kira-kira 90 minit menghayati suasana keindahan Putrajaya menerusi pelayaran menelusuri tasik seluas 650 hektar.
Jamuan makan tengah hari di atas cruise itu dianjurkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad selepas mesyuarat kabinet.
Turut serta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.
Perdana Menteri turut mengambil kesempatan menjelaskan kepada hadirin mengenai sejarah serta ciri-ciri pembangunan dan keindahan yang dimiliki Putrajaya.
"Nampak cantiknya Putrajaya ini kalau kita melihatnya dari tasik dengan menaiki bot," katanya.
Wilayah pentadbiran Putrajaya dibangunkan ketika era pemerintahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat.
Jelasnya konsep pembangunan Putrajaya sebenarnya adalah idea bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar.
"Konsep Putrajaya ini bukanlah daripada saya tetapi dari Elyas yang mahukan tempat untuk membangunkan satu pusat pentadbiran kerajaan yang mana keseluruhan bangunan adalah untuk pejabat kerajaan.
"Kita bercadang untuk bangunkan di Janda Baik, Pahang tetapi terdapat sedikit masalah dan kita telah memilih kawasan antara Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.
Dr Mahathir berseloroh: "Oleh itu, (Putrajaya) ini dekat dengan Kuala Lumpur dan kalau saya nak lari, saya boleh lari ke KLIA sebab ada orang kata kononnya ada terowong dari rumah Perdana Menteri ke KLIA supaya saya boleh lari.. tapi saya tak lari la".
"Saya percaya semua orang yang datang ke sini amat terpegun dan mereka beritahu saya sedemikian kerana mereka juga berharap dapat memiliki sesuatu seperti ini dan sesetengah mereka juga cuba membina pusat pentadbiran mereka sendiri,” katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan persekutuan selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!