Plaza Tol Gombak lancar
GOMBAK - Warga kota beransur pulang ke kampung sebagai persediaan menyambut Aidilfitri minggu hadapan.
Jalan raya dipenuhi kenderaan bagaimanapun tinjauan Sinar Harian di Plaza Tol Gombak menuju Genting Sempah mendapati trafik masih bergerak lancar pada hari ini.
Sebanyak 52,252 jumlah kenderaan menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan 20,937 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1(LPT1) sejak jam 6 pagi tadi sehingga 1 tengah hari.
Dijangka, jumlah trafik akan terus meningkat pada hari ini dan esok menuju ke Pantai Timur selepas kebanyakan warga kota telah mula bercuti.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, sejak 25 Mei lalu sehingga semalam, trafik masih belum menunjukkan peningkatan ketara.
"Trafik dijangka sesak mulai hari ini selepas Subuh sehingga petang Selasa. Ikuti Facebook LPT dan Twitter @LPTtrafik untuk mengetahui maklumat trafik terkini di Lebuhraya KL- Karak dan LPT fasa satu," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memeriksa baki kad Touch 'n Go dan e-wallet mencukupi sebelum memasuki tol.
"Nikmati diskaun tol sebanyak sepuluh peratus untuk kenderaan kelas 1 pada Rabu, 5 Jun bermula jam 12.01 malam hingga 11.59 malam.
Anggaran trafik yang menggunakan KLK dan LPT1 mulai hari ini sehingga 9 Jun adalah sebanyak 1.6 juta dan 690,233 kenderaan dengan peratusan antara 57 peratus sehingga 65 peratus daripada hari biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!