Phoong Jin Zhe dicalon antara 20 ahli politik muda paling berkesan

Phoong Jin Zhe
Phoong Jin Zhe
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe, yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah pada 21 Mei, menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dicalonkan oleh One Young World sebagai seorang daripada 20 ahli politik muda paling berkesan di seluruh dunia tahun ini.

Phoong, 30, yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan Belia Sosialis DAP, berkata, beliau agak terkejut dan tidak percaya apabila menerima emel daripada pertubuhan yang berprestij itu beberapa hari lepas yang memberitahu mengenai pencalonan itu.

“Saya rasa terhormat untuk menerima pencalonan itu bersama-sama 20 ahli politik muda yang mengagumkan berumur antara 18 hingga 35 tahun disenarai dari seluruh dunia sebagai satu pengiktirafan di atas kesan dan pengaruh yang diwujudkan dalam komuniti masing-masing di mana mereka adalah pemimpin atau wakil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lima calon akan diumum sebagai pemenang, selepas disemak oleh satu panel terdiri daripada juri-juri, yang kesemua mereka adalah orang penting dalam bidang masing-masing, dan saya akan berangkat ke London pada Oktober untuk menerima anugerah itu pada Persidangan Dunia Orang Muda di mana belia dan wakil dari lebih 190 negara dari seluruh dunia akan berhimpun.

Phoong juga melahirkan bahawa beliau lebih teruja menjadi satu-satunya calon yang disenarai pendek bukan sahaja dari Malaysia dan Sabah, malah satu-satunya ahli politik muda dari ASEAN.

“Saya bangga dan terhormat diberi peluang untuk mewakili negara dan negeri tercinta saya. Saya percaya ini seterusnya membuktikan bahawa orang muda di seluruh dunia boleh membawa pembaharuan di mana juga mereka berada dan memberi kesan langsung kepada kehidupan orang sekeliling. Doakan yang terbaik untuk saya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!