Rebut peluang Pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak

Asmuni menurunkan tandatangan di gegantung program sebagai gimik perasmian sambil disaksikan Idris (kanan) di RTC Perak, di sini semalam.
Asmuni menurunkan tandatangan di gegantung program sebagai gimik perasmian sambil disaksikan Idris (kanan) di RTC Perak, di sini semalam.
A
A
A

GOPENG - Usahawan di Perak perlu merebut peluang bagi mendapatkan Pinjaman Tabung Usahawan yang disediakan kerajaan negeri melalui Yayasan Perak.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, sejumlah RM5 juta diperuntukkan dalam Bajet Perak tahun ini untuk diagihkan kepada usahawan dalam bentuk pinjaman bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Katanya, sehingga kini kira-kira RM1 juta sudah diagihkan kepada usahawan yang memerlukan dan peruntukan itu perlu dihabiskan sebelum Oktober tahun ini.

"Saya lihat produk yang dihasilkan usahawan kita berkualiti, cuma mungkin ada kelemahan sedikit dari sudut pembungkusan dan pemasaran.

"Jadi kita sangat mengalu-alukan mana-mana usahawan yang ingin bantuan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka untuk memohon kepada Yayasan Perak bagi mendapatkan pinjaman itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program My Best Buy Industri Asas Tani Pra Aidilfitri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini semalam.

Hadir sama pada program tersebut, pemangku Pengarah FAMA Perak, Idris Tahir.

Mengenai program berkenaan, Asmuni berkata, seramai 30 usahawan terlibat membabitkan 44 lot gerai yang menjual pelbagai jenis barangan makanan, pakaian dan keperluan harian.

Artikel Berkaitan:

Asmuni (kiri) bersama Idris (kanan) turut membantu mengacau dodol yang dimasak dan dijual kepada pelanggan di gerai My Best Buy RTC Perak.
Asmuni (kiri) bersama Idris (kanan) turut membantu mengacau dodol yang dimasak dan dijual kepada pelanggan di gerai My Best Buy RTC Perak.

Sementara itu, Idris berkata, program berkenaan merupakan aktiviti tahunan FAMA yang kini masuk tahun keenam.

Katanya, nilai jualan pada tahun ini disasarkan sebanyak RM330,000 dengan 16,000 pengunjung bermula 29 Mei lalu hingga 4 Jun nanti.

"Selain di RTC Perak, program ini turut diadakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan dan yang terbaharu di tapak Pasar Tani Lekir, Sitiawan.

"Memang setiap tahun ada peningkatan dari segi penyertaan usahawan dan juga nilai jualan. Seperti tahun lalu, nilai jualan lebih kurang RM200,000 tetapi kita sasarkan pada tahun ini lebih banyak," katanya.

Beliau berkata, program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang malah di Program My Best Buy ini juga diadakan setiap bulan di RTC Perak tetapi pada bulan ini diadakan khusus sempena Aidilfitri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!