6,292 berjaya ditempatkan semula dalam sektor pekerjaan

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar (kanan) dan Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Faedah Penuh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan Mini Job Hunt 2.0 di Wisma Perkeso hari ini. Foto: Bernama
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar (kanan) dan Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Faedah Penuh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan Mini Job Hunt 2.0 di Wisma Perkeso hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya menempatkan seramai 6,292 orang kembali semula bekerja dalam pelbagai bidang dan industri sejak Ogos lepas sehingga kini melalui perkhidmatan carian pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata perkhidmatan carian pekerjaan yang disediakan di bawah SIP lebih mesra rakyat kerana mengetengahkan konsep pengurusan kes secara individu yang mana setiap pencari kerja dibantu oleh seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan.

“Pegawai perkhidmatan pekerjaan ini akan membuat penilaian, sokongan pekerjaan, pelan perancangan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan bagi membantu orang berinsurans kembali bekerja secepat mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Faedah Penuh SIP dan Mini Job Hunt 2.0 di Wisma Perkeso hari ini.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak RM16.45 juta faedah interim telah diberi oleh Perkeso kepada pekerja yang disahkan kehilangan pekerjaan dan layak menerima bantuan interim.

“Sejak Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) ini diperkenalkan pada 1 Januari 2018 hingga 14 Dis 2018, SIP telah menerima permohonan bantuan interim daripada 22,268 pekerja yang hilang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata mereka yang hilang pekerjaan dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018, layak menerima bantuan interim sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum tiga bulan.

“Bagaimanapun, bagi pekerja yang hilang pekerjaan mulai 1 Disember 2018 dan telah cukup mencarum minimum sebanyak 11 bulan caruman, layak menuntut faedah penuh SIP (full-fledge) seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB),” katanya.

Justeru, Mahfuz berkata untuk membuat tuntutan faedah EMP bagi bulan kedua, ketiga dan seterusnya, Orang Berinsurans disyaratkan supaya terus aktif mencari kerja dengan mendaftar di mana-mana portal pekerjaan atau memohon kerja terus kepada majikan atau mengikuti program temu duga yang diaturkan oleh Perkeso.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin mengingatkan supaya pekerja yang kehilangan pekerjaan tampil membuat permohonan bantuan SIP secara dalam talian di www.perkeso.gov.my/sip atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso yang berdekatan.

“Tuntutan bantuan SIP hendaklah dikemukakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh hilang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata sektor perkilangan mencatatkan kategori industri tertinggi kehilangan pekerjaan iaitu sebanyak 7,138 orang (32.1 peratus), diikuti oleh sektor pembinaan 1,933 orang (8.7 peratus) dan sektor kewangan sebanyak 1,754 orang (7.9 peratus).

Mahfuz berkata kategori pekerjaan Perkeranian dan Pekerja sokongan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu sebanyak 4,089 orang (18.4 peratus), diikuti Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 3,807 (17.1 peratus) dan kategori Profesional sebanyak 3,671 (16.5 peratus).

Mahfuz berkata bagi mereka yang sedang menerima EMP dan masih belum berjaya mendapat pekerjaan, dikehendaki melaporkan kepada Perkeso bagi melayakkan mereka membuat tuntutan EMP bagi bulan-bulan berikutnya.

Pada majlis itu, Perkeso menyerahkan cek EMP bagi bulan pertama berjumlah antara RM1,700 sehingga RM3,160 kepada 25 orang kumpulan pertama penerima faedah penuh SIP, bergantung kepada kadar caruman bulanan mereka.

Selain itu, sebanyak 376 jawatan kosong dalam pelbagai kategori pekerjaan telah ditawarkan untuk membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan melalui program Mini Job Hunt 2.0 yang diadakan hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!