Pulau Pinang akan perkemas sistem penyampaian zakat
SEBERANG JAYA - Tindakan pemimpin bukan Islam menyampaikan bantuan atau kit zakat kepada asnaf tidak perlu dijadikan isu.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, perkara itu telah dijelaskan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor sebelum ini menyatakan adalah harus untuk pemimpin bukan Islam membantu atau turut bersama menyampaikan zakat kepada asnaf.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Agama Islam berkata, bagaimanapun kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kerisauan umat Islam berhubung isu berkenaan.
Katanya, walaupun isu berkenaan bukan satu kesalahan namun pihaknya sedar pandangan masyarakat yang perlu diambil berat dan kerajaan negeri akan memperkemaskan lagi sistem penyampaian zakat dan buat perubahan pada masa akan datang.
“Kalau ikut pandangan Datuk Mufti perkara itu bukan sesuatu yang ditegah tapi mungkin pihak-pihak tersebut membangkitkan perkara ini berikutan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengagihan.
“Kita ambil perhatian dan cuba memperbaiki keyakinan rakyat tentang sistem pengagihan zakat ini pada keseluruhannya. Mungkin akan ada perubahan dari segi prosedur operasi standard (SOP) dalam penyampaian zakat selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas majlis penyampaian zakat korporat oleh lima syarikat kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) baru-baru ini.
Lima syarikat korporat terbabit ialah Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (KTMSAB) membuat pembayaran bagi haul 2018 sejumlah RM1,098,809.54; diikuti Maybank Islam Berhad (RM660,398.49 bagi haul 2018); Etiqa General Takaful Berhad dan Etiqa Family Takaful Berhad (RM357,300 bagi haul 2018); Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM159,304.08 bagi haul 2018); dan Agro Bank (RM40,000 bagi haul 2017).
Penyerahan zakat itu diterima Ahmad Zakiyuddin dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.
Sebelum ini beberapa pihak melahirkan rasa tidak puas hati dan curiga mengenai penglibatan pemimpin dan wakil rakyat bukan Islam yang menyampaikan bantuan kit zakat kepada asnaf di negeri ini.
Bagi mereka masih ramai lagi pemimpin atau wakil dalam kalangan umat Islam yang layak untuk menyampaikan bantuan zakat dan sepatutnya urusan zakat tidak perlu campur tangan orang bukan beragama Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!