Masjid Nurul Huda sampaikan sumbangan Aidilfitri
PUCHONG - Aidilfitri yang tinggal beberapa hari menjadi platform buat warga Masjid Nurul Huda Batu 13, Kampung Kenangan di sini apabila menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Aktiviti sumbangan ini bagaikan satu tradisi yang mana dijalankan sejak dahulu lagi menfokuskan sumbangan kepada 62 ibu tunggal, anak yatim dan golongan kurang upaya.
Nazir Masjid Nurul Huda, Nasiruddin Mohamed berkata, program ini menjadi kelaziman diadakan pada malam-malam terakhir Ramadan.
"Sepanjang Ramadan ini, ramai yang menyumbangkan kepada pihak masjid, sama ada melalui orang perseorangan atau sebagainya melalui akaun bank dan juga tabung-tabung masjid.
"Jadi apa yang disumbangkan itu kita programkan kembali dan sumbangkan pula kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sumbangan Ramadan anjuran Masjid Nurul Huda, Batu 13, Kampung Kenangan di sini hari ini.
Katanya, sumbangan ini sekali gus disampaikan untuk meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.
"Kita sentiasa perlu ingat, dalam meraikan nasib mereka yang kurang mampu, harus sentiasa kita ingati lebaran ini disambut oleh semua, tidak mengira siapa pun mereka.
"Selain daripada program ini, turut diadakan adalah kunjungan ziarah yang dijalanķan dari rumah ke rumah warga emas melibatkan hampir 20 buah," katanya.
Sumbangan kepada semua penerima ini disampaikan dalam bentuk sumbangan wang tunai.
Turut hadir dalam program ini adalah Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!