Pulau Pinang catat kecemerlangan besar dalam UPKK
KEPALA BATAS - Pulau Pinang melakar kejayaan apabila mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, seramai 6683 murid telah menduduki UPKK pada tahun 2018.
"Bermula pada tahun 2014 dengan kedudukan nombor 13 pada peringkat kebangsaan, saya percaya tuan-tuan telah melakukan satu anjakan dalam pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini dengan kedudukan nombor 9 pada tahun 2015.
"Diikuti nombor 2 pada tahun 2016 serta pencapaian paling membanggakan pada tahun lalu pada kedudukan nombor 1 di peringkat kebangsaan.
"Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada guru-guru yang bertungkus lumus dalam mendidik dan hasilnya kita perolehi pada hari ini dan ucapan tahniah juga kepada murid-murid KAFA yang berjaya dan jadikan keputusan ini sebagai batu loncatan ke arah kecemerlangan akademik mahupun kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Ujian Penilaian Kelas KAFA bagi peringkat negeri di Dewan Millenium, Kepala Batas.
Tidak lupa juga syabas kepada para ibu bapa yang bersama-sama menjadikan keputusan ini cemerlang.
"Dalam masa sama, saya berharap Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terus berusaha menaikkan reputasi mutu pendidikan negeri, agar kelak menjadi penanda aras di peringkat kebangsaan.
“Saya berharap KAFA Pulau Pinang menjadi peneraju dalam kurikulum dan ko-kurikulum di peringkat kebangsaan serta menjadi penanda aras pendidikan Islam di peringkat kebangsaan,” ujarnya.
Atas kejayaan ini serta komitmen yang ditunjukkan beliau akan memastikan pendidikan KAFA diteruskan di negeri ini dan berlangsung lebih cemerlang.
"Kita akan meningkatkan mutu dan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta mempelbanyakkan program terutama melibatkan guru dan murid.
"Saya menyeru agar kita sentiasa mempersiapkan diri dengan makluman dengan ilmu pengetahuan serta bersama-sama dalam menghayati dan mengamalkan konsep pendidikan di alaf baru yang bertunjangkan teknologi dan komputer.
Turut diadakan, Majlis Menandatangani Kontrak Guru KAFA peringkat negeri Pulau Pinang yang dihadiri 1,580 guru KAFA.
Turut hadir Yang di Pertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAINPP, Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!