Duyong Marina & Resort kongsi rezeki
KUALA NERUS - Sebanyak 20 keluarga asnaf di Pulau Duyong menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai daripada Duyong Marina & Resort di sini semalam.
Sumbangan disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Duyong Marina & Resort, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali sempena program Konvoi Singgah Sahur di kampung berkenaan.
Dr Khairuddin berkata, usaha dilaksanakan melalui anak syarikat kerajaan negeri itu adalah untuk membantu mengurangkan beban golongan memerlukan dalam menyambut musim perayaan.
Menurutnya, hasil yang diperoleh termasuk keuntungan dalam perniagaan itu sewajarnya turut dikongsi bersama rakyat di kawasan berhampiran agar semua dapat merasai nikmat kesenangan.
"Apa yang kita buat adalah suatu inspirasi untuk sama-sama mengajak masyarakat luar menyumbang kerana kewajipan untuk membantu orang susah adalah tanggungjawab semua.
"Program ini kita akan teruskan lagi pada masa akan datang dengan skop yang lebih besar," katanya ketika ditemui media di Duyong Marina & Resort selepas berakhirnya program.
Hadir sama, Pemangku Pengurus Besar Duyong Marina & Resort, Sham Fadzli Yusof serta Ketua Eksekutif Syariahnya, Zulhafeez Ahmad Zahidi.
Dr Khairuddin juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, program kebajikan di bawah Duyong Marina & Resort itu tidak hanya tertumpu kepada program itu sahaja tetapi turut melibatkan anak anak yatim.
"Untuk anak yatim sahaja kita bagi makan (berbuka) lebih daripada 200 orang sepanjang Ramadan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!