Menghampiri hari kemenangan

A
A
A

SETELAH hampir sebulan berpuasa beberapa hari lagi umat Islam akan merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan.

Ibadat puasa di bulan Ramadan diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Disiplin yang dipupuk madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di khalayak awam tetapi juga apabila bersendirian. Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah.

Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi. Hampir sebulan mengikuti tarbiah Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan itu masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun sudah tentulah kehibaan di jiwa tidak dapat dielakkan semasa menyambut Aidilfitri.

Dari segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan telah membersih segala dosa kita.

Namun tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal mendapat pengiktirafan daripada madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada fitrah iaitu sikap negatif yang diamalkan sebelum Ramadan.

Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halalnya dan dari sumber yang diragukan. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat.

Agama ALLAH memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-NYA di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia merupakan suatu ibadat, hari besar itu wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut ALLAH.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim.

Boros

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Ramai juga dalam kalangan umat Islam tidak mahu keluar rumah mengunjungi sanak saudara. Hal sedemikian seolah-olah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia.

Ia berlaku kerana umat Islam khususnya dalam kalangan muda-mudi menumpukan perhatian kepada rancangan hiburan disediakan. Malah pelbagai gajet elektronik juga memberi pengaruh kepada anak muda dari bertemu sanak saudara kerana mereka terlalu asyik dengan gajet mereka itu.

Saya tidak mengatakan hiburan patut diharamkan pada hari raya tetapi rancangan disajikan itu hendaklah tidak menghakis semangat hari raya itu sendiri.

Seperti lazimnya, Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, berapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis berkenaan.

Saya tidak berhasrat menyanggah apa yang telah dilakukan sekian lama ataupun menyarankan ia diberhentikan, tetapi biarlah dalam semua tindakan itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak disifatkan sebagai suatu pembaziran.

Malah, oleh kerana terlalu banyak rumah terbuka meraikan Aidilfitri, ada kalanya kita tidak berkesempatan menunaikan tuntutan agama seperti berpuasa enam. Berpuasa enam hari pada Syawal amatlah dituntut dalam Islam.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan berjumpa lagi Ramadan akan datang? Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta?

Kebeningan Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada’ dan qadar-Nya.

Bukanlah kita tidak boleh berseronok meraikan Aidilfitri tetapi tujuan utama untuk mengabdikan diri kepada ALLAH janganlah dikesampingkan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!