Pengalaman iftar di seberang

A
A
A

IFTAR dalam bahasa Arab bermaksud makan petang untuk berbuka puasa apabila tiba waktu Maghrib.

Mengambil keberkatan pada bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini, saya bersama-sama beberapa sahabat NGO pergi ke Masjid An-Nur Bakti OKB di kawasan Kubur Besar, Sungai Golok di selatan Thailand untuk berbuka puasa bersama jemaah masjid serta 40 orang pelajar tahfiz.

Walaupun masjid ini terletak di luar Malaysia dan kami harus melepasi pemeriksaan imigresen, lokasinya tidaklah terlalu jauh; kira-kira 15 minit perjalanan dari sempadan Malaysia selepas melalui jambatan yang memisahkan Malaysia dan Thailand.

Sebaik melepasi sempadan Malaysia di Kompleks Imigresen Rantau Panjang dan menjejakkan kaki di bumi Thai, terasa sedikit kelainan.

Bilangan masjid atau surau di sana tidak sebanyak di Kelantan yang terkenal sebagai Serambi Makkah. Tidak jauh dari masjid pula, hanya di luar pagar masjid, kelihatan lot-lot kedai berlampu merah suram di mana terdapat beberapa wanita berpakaian singkat duduk menunggu di atas bangku.

Bagi mereka yang pernah ke selatan Thailand terutama di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun, tentu tahu terdapat ramai penduduk etnik Melayu beragama Islam di sana.

Selain fasih berbahasa Thai, mereka juga berkomunikasi dalam bahasa Melayu Pattani yang dialeknya sama dengan dialek Kelantan.

Alhamdulillah, pembinaan Masjid An-Nur Bakti OKB di bawah kelolaan rakyat Malaysia ini mula dibina pada 2015, kini sudah hampir siap sepenuhnya. Kebenaran memungut derma dan menerima wang khairat tabung pembinaan masjid itu turut mendapat kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pembiayaan pembinaan masjid turut menggunakan hasil jualan lot tanah untuk diwakafkan; satu lot bersamaan satu kaki persegi.

Masjid yang hampir 90 peratus siap ini dengan belanja RM850,000 yang kebanyakannya sumbangan rakyat Malaysia sudah boleh digunakan. Majlis berbuka puasa serta solat lima waktu dan tarawih turut diadakan di situ setiap hari. Begitu juga pengajian tahfiz. Madrasah lama bersebelahan dengan masjid itu dijadikan penempatan untuk para pelajar tahfiz.

Ada yang mempersoalkan mengapa kita perlu bantu membina masjid di luar negara bila mana terdapat banyak masjid dan surau sedang dibina di Malaysia dan memerlukan sumbangan?

Bagi mereka yang mengkaji sejarah, kerajaan Pattani merupakan sebuah kerajaan Melayu awal yang merangkumi wilayah Pattani (Patani), Yala (Jala), Narathiwat (Menara) dan sebahagian Songkhla (Singgora).

Zaman kegemilangan Kesultanan Pattani ialah dari tahun 1584 hingga 1649 dan pernah disatukan dengan kerajaan Kelantan. Namun begitu, Siam menyerang Pattani pada tahun 1785 dan Kedah pada 1821 dan kedua-dua negeri ini ditakluki Siam akhirnya.

Penaklukan Siam ke atas Pattani diakui British pada 1826 dan Sultan Pattani dibuang negeri ke Kelantan. Ketika itulah berakhirnya pemerintahan Kesultanan Melayu di Pattani.

Dengan termeterainya Perjanjian Bangkok pada 1909, Pattani telah diakui oleh British sebagai sebahagian daripada jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang Melayu Pattani.

Kini, semuanya tercatat sebagai sejarah. Wilayah-wilayah yang pernah di bawah sebuah pemerintahan kerajaan Melayu dipisahkan kepada dua negara, Thailand dan Malaysia.

Walaupun terpisah menjadi dua negara, masyarakat Melayu Pattani serta wilayah lain di selatan Thailand masih memerlukan sokongan rakyat Malaysia terutama dalam hal pembinaan masjid-masjid di sana. Bilangan penduduk Islam semakin bertambah, maka lebih banyak masjid diperlukan.

Masjid An-Nur Bakti OKB masih memerlukan lebih kurang RM150,000 lagi bagi melengkapkan kerja-kerja akhir pembinaan seperti pendawaian elektrik dan sebagainya.

Bagi mereka yang ingin menambah saham akhirat, anda bolehlah menyalurkan sumbangan kepada 'Tabung Pembinaan Masjid An-Nur Bakti OKB' melalui akaun Maybank 562713401567.Bilangan masjid atau surau di sana tidak sebanyak di Kelantan yang terkenal sebagai Serambi Makkah."

* Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!