Solat hajat untuk drawbridge
KUALA TERENGGANU - Seramai 50 orang menunaikan solat hajat di menara jambatan angkat (drawbridge) jam 10.30 malam tadi sebelum mercu tanda ikonik baharu itu dibuka untuk laluan ramai jam 7 pagi, hari ini.
Solat hajat bagi memohon kelancaran operasi jambatan angkat itu diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah.
Ia turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Ariffin ketika ditemui pemberita berkata, beliau yakin kemudahan itu akan melonjakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
"Kita percaya, ikon baharu ini dapat membantu melonjakkan lagi industri pelancongan Terengganu sekali gus mencapai sasaran lima juta pengunjung yang ditetapkan tahun ini," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan sekitar drawbridge.
"Selepas komponen pembangunan jambatan angkat itu selesai, kerajaan negeri turut merancang untuk mengindahkan kawasan di sekitar mercu tanda baharu ikonik itu," katanya.
Jambatan angkat itu dibuka kepada orang ramai untuk percubaan dalam tempoh dua minggu bermula hari ini hingga 17 Jun.
Ia bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya, di samping koordinasi sistem penyuraian trafik.
ARTIKEL BERKAITAN: Pejalan kaki tidak boleh lalu drawbridge
Jambatan angkat ubah trend pelancongan di Terengganu
'Jambatan angkat' bawa limpahan ekonomi kepada rakyat Terengganu
Drawbridge dibuka pada umum bermula jam 7 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!