Warga emas terkejut kereta 'terbang' rempuh rumah
MACHANG - Hancur luluh hati pasangan warga emas di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong di sini apabila rumah mereka rosak teruk akibat dirempuh kereta 'terbang ' dalam kejadian awal pagi tadi.
Bukan sahaja rumah tetapi barangan keperluan sebagai persiapan menyambut kedatangan Aidilfitri yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi turut musnah apabila dinding bahagian dapur rumah mereka runtuh akibat kejadian pada jam 4 pagi itu.
Mangsa, Latifah Hassan, 63, berkata, kejadian tersebut cukup mengejutkannya dan suami, Mat Rani Mustapha, 62, yang ketika itu sedang bersiap sedia untuk memasak hidangan sahur.
"Mujurlah ketika itu saya belum masuk ke dapur dan berada di ruang tamu untuk mengejutkan suami. Kalau tidak, entah apa nasib saya. Kejadian berlaku dengan cepat dan pada mulanya saya ingatkan kemalangan berlaku di jalan raya di hadapan rumah kami namun rupanya rumah kami yang dilanggarnya.
"Kami panik dan lebih menakutkan apabila ada orang menjerit meminta air, jadi ketika itu saya cuma fikir kenderaan tersebut akan meletup. Kami cepat-cepat masuk ke bilik untuk mengambil dokumen penting sebelum keluar dari rumah," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Tambah Latifah, kejadian tersebut menarik perhatian masyarakat sekitar apabila memenuhi rumahnya sepanjang waktu sahur sehingga jam 7 pagi bagi melihat sendiri kereta 'terbang' itu.
Katanya, kejadian tersebut turut merosakkan sebuah motosikal dan kenderaan Perodua jenis Kelisa miliknya yang diletakkan di bahagian hadapan rumah.
Tambahnya, pintu pagarnya turut patah akibat dilanggar kenderaan tersebut sebelum merempuh masuk ke bahagian dapur rumahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) jenis Mazda Biante itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Katanya, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh rumah penduduk yang terletak berdekatan.
Tambahnya, kemalangan yang berlaku di Kilometer 28.7 Jalan Kota Bharu Kuala Krai tersebut turut menyebabkan pemandunya patah bahu dan dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!