''Harta ibadah' wajar diagih pemimpin ahli ibadah juga'
SHAH ALAM - Agihan zakat hendaklah diserahkan sendiri oleh pihak yang diberi tanggungjawab oleh umat Islam seperti pusat zakat terus kepada asnaf tanpa perlu menerusi pemimpin politik bukan Islam.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, meskipun para ulama berbeza pendapat tentang hukum individu Muslim mewakilkan bukan Islam untuk mengagihkan zakat, namun sensitiviti masyarakat Islam perlu diambil kira.
Katanya, dalam konteks khilaf perbezaan pendapat ulama, maka terbaiknya keluar daripada khilaf sebagaimana kaedah Feqah yang masyhur dengan mengelakkan diri daripada mewakilkan bukan Islam untuk mengagihkan zakat.
“Adapun dalam konteks isu pemimpin bukan Islam mengagihkan zakat milik orang Islam yang dikumpul oleh pihak berwajib seperti Lembaga Zakat kepada orang Islam ia perlu dilihat dari sudut tujuan dan juga syiar kepimpinan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Agih zakat: ZPP, MAINPP perlu ambil tindakan tegas
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi, tujuan asal program penyerahan zakat oleh pemimpin bukan Islam kepada golongan asnaf juga perlu diteliti agar ia tidak bersifat politik untuk mempromosikan kepimpinan bukan Islam kepada orang Islam.
“Sekiranya ia menjadi agenda politik maka tidak wajar ianya berlaku menggunakan harta ibadah seperti zakat oleh bukan Islam yang bukan ahli ibadah,” katanya.
Terdahulu, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit yang mengedarkan kit bantuan zakat kepada penduduk Islam yang dikenal pasti layak untuk menerima bantuan zakat di Pulau Pinang mendapat kritikan ramai khususnya umat Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!