Honda Civic rempuh rumah
DUNGUN - Seorang pekerja swasta tidak sempat menyambut Aidilfitri apabila maut selepas kereta dipandu terbabas merempuh sebuah rumah dalam kejadian di KM 97 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Kampung Tebing Tembah, Paka, di sini, kira-kira jam 7.20 pagi tadi.
Mangsa, Abdul Fatah@Abd Rahaman Yusoff, 35, yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka selepas bertarung nyawa hampir dua jam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang beralamat di Jalan Rambutan, Paka disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi.
Katanya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Dungun menghala ke Kerteh.
"Setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Honda Civic dipandu mangsa bersendirian dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebuah rumah di tepi jalan itu.
"Ekoran itu mangsa alami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka dengan menaiki ambulans sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan," katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan lokasi kejadian itu kerap berlaku kemalangan dan rumah yang dilanggar sering menjadi mangsa langgar kerana pada 12 Mei lalu sebuah kereta terpelosok ke bawah rumah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!