Mujahid bimbang fenomena 'orang jahil cakap agama'
PARIT BUNTAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyuarakan kebimbangan terhadap masyarakat Islam di Malaysia kini terperangkap dengan fenomena 'orang jahil bercakap tentang agama' sejak kebelakangan ini.
Mujahid berkata, penularan fenomena itu dapat dilihat terutama dalam laman sosial apabila kebanyakan pihak teruja mengecam tindakan sesuatu isu kontroversi berkaitan agama Islam meskipun tiada ilmu mengenainya.
Menurutnya, pihaknya mengambil contoh isu beberapa wakil rakyat bukan Islam yang dikecam ramai kerana menyampaikan bantuan termasuk zakat kepada umat Islam bagi menyambut perayaan Aidilfitri.
"Dalam isu itu, Mufti Pulau Pinang sendiri sudah keluarkan fatwa hukum wakil rakyat bukan Islam sampaikan bantuan termasuk zakat kepada umat Islam adalah harus bukan haram.
"Jadi, kita tidak boleh mengecam perbuatan wakil rakyat bukan Islam itu sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.
"Cuma soal perbuatan itu elok atau tidak terserah kepada pendapat masing-masing kerana saya lebih melihat wakil rakyat bukan Islam berkenaan hanya bertindak sebagai 'posmen' untuk menyerahkan sahaja bantuan zakat, bukannya mengendalikan sendiri urusan zakat," katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis tadarus dan khatam al-Quran anjuran Masjid Daerah Parit Buntar dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar di sini semalam.
Beliau menegaskan kelompok tidak bertanggungjawab yang memainkan sentimen agama untuk mencapai matlamat politik sebenarnya tidak menyedari perbuatan mereka itu akhirnya akan memburukkan Islam.
"Bahkan Mufti Kelantan sendiri tidak mengatakan perbuatan wakil rakyat bukan Islam menyerahkan bantuan zakat adalah haram, cuma beliau kata lebih molek perkara itu dilakukan orang Islam sendiri.
"Umat Islam sebenarnya perlu berhati-hati memainkan sentimen agama kerana orang jahil tetapi hendak bercakap tentang agama sebenarnya boleh jadi sesat dan menyesatkan orang lain," katanya.
Mujahid turut bersedih dengan tindakan penyebaran fitnah kebencian keterlaluan dilakukan segelintir pihak terhadap pemimpin PH termasuk dirinya dan menyifatkan perbuatan itu sangat bahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!